ad
AGENDA

Penjawat awam antara lima ditahan kerana ugut pelanggan restoran makanan segera

15 Apr 2024, 1:00 PM
Penjawat awam antara lima ditahan kerana ugut pelanggan restoran makanan segera

KUANTAN, 15 APRIL: Polis menahan lima lelaki termasuk seorang penjawat awam dan peniaga bagi membantu siasatan kes ugutan dan provokasi terhadap seorang pelanggan di sebuah restoran makanan segera di Sungai Isap di sini Jumaat lepas.

Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata kesemua lelaki tempatan berumur antara 27 hingga 43 tahun itu ditahan pada Sabtu lepas dan semalam di sini.

"Beberapa suspek mempunyai rekod jenayah lampau antaranya kesalahan berkaitan dadah.

“Kesemua mereka kini direman hingga 17 April bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Wan Mohd Zahari sebelum ini dilaporkan berkata beberapa lelaki yang sedang berkempen memboikot restoran makanan segera telah memanggil mangsa dan mengeluarkan kata-kata kesat serta melakukan provokasi terhadap lelaki itu kira-kira pukul 10.25 malam Jumaat lepas.

Ketika mangsa menghampiri kumpulan lelaki berkenaan, dia telah diugut akan dipukul menggunakan topi keledar, namun situasi itu telah dileraikan isteri mangsa.

Mangsa kemudian membuat laporan polis pada Sabtu.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.