ad
AGENDA

Sze Fei-Nur Izzuddin naib juara Kejohanan Badminton Asia

14 Apr 2024, 11:00 AM
Sze Fei-Nur Izzuddin naib juara Kejohanan Badminton Asia

KUALA LUMPUR, 14 APRIL: Hasrat beregu lelaki negara Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani bergelar juara Kejohanan Badminton Asia (BAC) 2024 tidak kesampaian selepas tewas di pentas final hari ini.

Pada aksi di Gimnasium Pusat Sukan Olimpik Ningbo, China, Sze Fei-Nur Izzuddin tunduk kepada pasangan tuan rumah Liang Wei Keng-Wang Chang 17-21, 21-15, 10-21 dalam pertarungan selama sejam empat minit.

Sze Fei-Nur Izzuddin yang merupakan pasangan bukan pilihan bermula garang apabila saling bertukar mata dengan beregu ranking ketiga dunia itu sebelum Wei Keng-Wang Chang meraih kemenangan pada set pertama.

Beregu negara itu bangkit di set kedua untuk mengheret permainan ke set penentuan, namun gagal meneruskan rentak cemerlang yang membawa mereka ke final.

Sze Fei-Nur Izzuddin menyingkirkan jaguh dunia dari Korea Selatan Kang Min Hyuk-Seo Seung Jae di pusingan pertama kejohanan dan rakan senegara Aaron Chia-Soh Wooi Yik pada aksi separuh akhir, semalam.

Keputusan tersebut menyaksikan Malaysia terus kempunan untuk mengulangi kejayaan yang kali terakhir dikecapi gandingan Choong Tan Fook-Lee Wan Wah selepas menewaskan rakan sepasukan Koo Kien Keat-Tan Boon Heong semasa saingan BAC edisi 2007 di Johor Bahru.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.