ad
BERITA UTAMA

Dari qari ke artis, Tamimi Siregar jadi imam drama Aidilfitri

12 Apr 2024, 2:00 AM
Dari qari ke artis, Tamimi Siregar jadi imam drama Aidilfitri
Dari qari ke artis, Tamimi Siregar jadi imam drama Aidilfitri
Dari qari ke artis, Tamimi Siregar jadi imam drama Aidilfitri
Dari qari ke artis, Tamimi Siregar jadi imam drama Aidilfitri

Oleh NAZLI IBRAHIM dan SOFIA NASIR

Perjalanan Datuk Ahmad Tamimi Siregar bergelar anak seni tidak mudah dek latar belakang agama keluarganya yang kuat.

Bapanya, Kamaruddin Siregar, guru agama di Seremban mengimpikan anak lelakinya menjadi qari dan awal-awal sudah mengasuhnya ke arah itu.

Sejak umur enam tahun beliau diberi latihan mengaji, namun tidak dapat menguasai bacaan sebaliknya hanya menghafal ayat-ayat Quran.

“Jadi apabila menyertai pertandingan qari, saya tewas kerana gagal baca dengan lancar. Akhirnya saya meminati seni,” katanya kepada Selangorkini pada 30 Januari.

Minat terhadap seni menyebabkan bapanya marah sehingga sanggup berjumpa guru besar sekolah dan memberitahu untuk menegah Ahmad Tamimi menyertai sebarang aktiviti seni, terutama tarian.

Menjelang dewasa, minat Ahmad Tamimi terhadap seni semakin menebal dan kemudian menyertai uji bakat teater muzikal Uda dan Dara di Kuala Lumpur pada 1970-an.

Ahmad Tamimi menjelaskan meski semasa itu beliau sudah bekerja sebagai kakitangan kerajaan, tetapi tetap hadir uji bakat kerana tidak mahu terlepas peluang beraksi dalam teater muzikal bahasa Melayu pertama negara hasil karya sasterawan Usman Awang.

“Saya gagal uji bakat. Tetapi tetap datang melihat latihan teater hampir setiap hari sehinggalah Datuk Rahim Razali menyedari kehadiran saya.

“Beliau kemudian menguji saya melakukan pelbagai watak dan diterima masuk sebagai pelakon tambahan dalam teater tersebut,” katanya.

Namun penglibatan Ahmad Tamimi dalam bidang seni mendapat tentangan keras Kamaruddin selama beberapa tahun sehingga ada seorang pelajar di pusat pengajian bapanya menerangkan hal sebenar kerjaya seni.

Sejak itu, pelakon filem Abang itu mendapati sikap bapanya perlahan berubah dan kerap bercerita mengenai kejayaan atau naskhah lakonan Ahmad Tamimi kepada masyarakat setempat.

“Beliau adalah peminat nombor satu saya. Bapa tidak pernah tunjuk bahawa dia bangga dengan pencapaian saya tetapi dia bercerita kepada orang ramai. Itu saya amat pasti,” katanya.

[caption id="attachment_625998" align="alignnone" width="752"] Suasana di set penggambaran telefilem Ayah Panggil Balik terbitan Kerajaan Selangor di Rumah Cikgu Jenal, Jalan Sekolah, Morib, Banting pada 28 Januari 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI[/caption]

Bercakap mengenai Aidilfitri, Ahmad Tamimi berhari raya di Kuala Lumpur setiap kali lebaran kerana mahu memudahkan anak-anaknya berkumpul.

Dedah anak kelahiran Perak itu, beliau tidak pernah merasa kesesakan jalan raya untuk pulang ke kampung halaman bagi menyambut Syawal.

“Saya hanya beraya di Kuala Lumpur dan tidak pernah merasa kesesakan jalan raya. Sebelum ini ada juga balik kampung mentua di Terengganu tetapi lama kelamaan isteri pun kata hanya raya di Kuala Lumpur saja,” kata bapa lapan anak dan datuk kepada sembilan cucu ini.

Memegang watak imam, Ahmad Tamimi berganding bersama Zaidi Omar, Fazlina Ahmad Daud, Syafie Naswip dan Amira Drummer menjayakan telefilem Ayah Panggil Balik terbitan Kerajaan Selangor.

Disergah beruk

Aksi Pelakon Lelaki Terbaik Asean 2023 dalam drama sempena Aidilfitri selama dua jam itu dipertontonkan di saluran TV2 pada jam 9 malam, 19 April ini.

Seorang lagi pelakon telefilem, Ropie yang ditemui di lokasi penggambaran Ayah Panggil Balik di Kampung Kundang, Kuala Langat, 30 Januari juga mendedahkan pengalaman lucu meraikan lebaran semasa berumur 12 tahun.

Anak jati Padang Rengas, Taiping itu berkongsi kenangan disergah beruk hingga duit raya berjumlah RM12 bertaburan yang masih segar dalam ingatan.

[caption id="attachment_637504" align="alignnone" width="827"] Temu bual Ropie Cecupak atau Zahid Tajuddin ketika penggambaran telefilem "Ayah Panggil Balik' di Surau Darul Nur, Kuala Langat pada 30 Januari 2024. FIKRI YUSOF/SELANGORKINI[/caption]

Pemilik nama sebenar, Zahid Tajuddin, 57, berkata baginya, peristiwa pada mulanya menyedihkan kerana kehilangan duit raya, tetapi bertukar manis apabila dikenang semula selepas dewasa.

“Kalau pengalaman masa kecil, pergi beraya paling seronok. Saya dan adik-beradik saya tiga orang pergi beraya rumah orang di kampung dari pagi sampai hampir malam. Dapatlah RM12. Masa itu cukup banyak.

“Jalan punya jalan, saya tak nampak ada beruk orang kampung bela, diikat rantai. Sekali, dia sergah, mahu terkam. Saya terperanjat berterabur duit raya. Masa itu duit raya syiling 10 sen, lima sen habis berterabur. Saya lari tak kutip duit itu,” katanya.

Bekas anggota kumpulan Cecupak itu menyifatkan Syawal 2016 merupakan raya paling menyentuh perasaan kerana terpaksa berjauhan dengan anak-anak.

Ketika itu, bekas isteri mengambil tiga anaknya dan beraya bersama, manakala Ropie pula pulang ke Taiping seorang diri.

“Pagi raya itu anak-anak hantar gambar dengan papa baharu dia dengan baju sedondon. Masa itu saya rasa macam tersentuh sangat. Baju pun saya tak beli,” katanya.

Kini ketiga-tiga anaknya sudah dewasa. Anak lelaki sulung berusia 29 tahun dan dua anak perempuan masing-masing berumur 28 serta 25 tahun.

Ketika bulan puasa, Ropie sedaya upaya mencari peluang memperbanyakkan ibadat termasuk solat tarawih dengan mengurangkan aktiviti seni pada bulan puasa.

“Kalau ada penggambaran bersambung pada bulan puasa, kena jalanlah juga sebab kalau tidak nanti kacau jadual orang lain,” katanya.

[caption id="attachment_626004" align="alignnone" width="830"] Salah satu babak dalam telefilem Ayah Panggil Balik terbitan Kerajaan Selangor di set penggambaran di Rumah Cikgu Jenal, Jalan Sekolah, Morib, Banting pada 28 Januari 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI[/caption]

Menyentuh telemovie Ayah Panggil Balik, Ropie menganggapnya penghormatan dapat berlakon di samping nama besar industri perfileman seperti Ahmad Tamimi dan Zaidi Omar.

Lebih istimewa lagi, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dan EXCO Negeri Borhan Aman Shah turut membuat penampilan khas dalam telefilem ini.

“Kelainan cerita ini, saya digandingkan dengan legenda. Jadi, saya berbesar hati. Cuma rasa macam tak boleh ‘loklak’ (gila-gila) sangat. Sebenarnya dia orang mesra cuma kita yang segan dan hormat pada mereka.

“Saya pernah berlakon dengan mereka ini tetapi tak selalulah. Bila sudah lama tak jumpa dan sesekali jumpa, ada pula menteri besar, wakil rakyat, jadi kita rasa lain sikit. Tak kelakar sangat. Maklumlah berlakon pun jadi orang surau,” katanya.

Selain jalan cerita penuh pengajaran, Ropie menganggap keistimewaan lain telefilem ini kerana berlatar belakang tempat menarik di Sepang dan Kuala Langat.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.