ad
AGENDA

Henti kekejaman, masyarakat dunia digesa sepakat bela nasib rakyat Palestin

11 Apr 2024, 9:00 AM
Henti kekejaman, masyarakat dunia digesa sepakat bela nasib rakyat Palestin

KUALA LUMPUR, 11 APRIL: Komuniti antarabangsa perlu segera mendesak agar pembantaian dan penghapusan rakyat Palestin di Gaza dihentikan, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata perkara itu dinyatakan oleh beliau kepada Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan, dalam perbincangan menerusi telefon tentang pelbagai isu serantau dan antarabangsa, termasuk situasi semasa di Palestin, malam tadi.

"Saya nyatakan bahawa komuniti antarabangsa perlu segera mendesak pembantaian dan penghapusan rakyat Gaza dihentikan.

"Malaysia akan terus komited menyuarakan pendirian tegas negara mengenai nasib rakyat Palestin di pentas dunia," katanya dalam hantaran di akaun Facebook rasminya hari ini.

Beliau berkata Presiden Turkiye itu juga menzahirkan harapan untuk memperhebat hubungan kedua-dua negara, terutamanya dalam bidang perdagangan dan pertahanan.

Panggilan telefon itu juga dimanfaatkan oleh Anwar untuk sekali lagi mengundang Erdogan ke Malaysia.

Menurut Anwar, kedua-dua mereka turut berbalas ucapan Hari Raya Aidilfitri selain mendoakan masing-masing terus diberikan kesihatan yang baik untuk memimpin negara.

-- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.