ad
AGENSI

Sultan Selangor seru rakyat kukuh perpaduan, semarak semangat muhibah

10 Apr 2024, 4:00 AM
Sultan Selangor seru rakyat kukuh perpaduan, semarak semangat muhibah

SHAH ALAM, 10 APRIL: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor menyeru rakyat agar terus mengukuhkan perpaduan dan menyemarakkan semangat muhibah.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj turut mengingatkan rakyat agar sentiasa mengamalkan sifat-sifat mulia dalam setiap tingkah laku, menulis perkara yang baik-baik dan elakkan fitnah.

"Beta berharap seluruh umat Islam terus mengekalkan silaturrahim dan bermaaf-maafan, lebih-lebih lagi dengan suasana Syawal yang penuh dengan tradisi rumah terbuka dan kunjung mengunjung.

"Sesungguhnya amalan ini mampu mempererat jalinan perpaduan," titah Baginda menerusi Facebook Selangor Royal Office.

Sultan Sharafuddin turut menasihatkan rakyat sentiasa berwaspada ketika di jalan raya dan berhati-hati menempuh perjalanan pulang ke kampung halaman.

"Semoga Syawal yang menyusuli pemergian Ramadan ini dapat kita sambut dengan kegembiraan sejati.

"Di hari baik bulan baik ini, Beta dan Tengku Permaisuri Hajah Norashikin ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfiltri kepada seluruh umat Islam di negeri Selangor yang Beta kasihi.

"Beta berdoa agar sambutan hari raya kali ini diraikan dalam suasana yang meriah dan penuh harmoni," titah Baginda.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.