ad
AGENDA

Jordan desak buka semua lintasan ke Gaza, tamatkan segera kebuluran

6 Apr 2024, 7:51 AM
Jordan desak buka semua lintasan ke Gaza, tamatkan segera kebuluran

AMMAN (Jordan), 6 APRIL: Jordan mendesak pembukaan semua lintasan darat ke Semenanjung Gaza selain mahu kebuluran di wilayah yang dikepung yang telah diserang tanpa henti oleh tentera Israel selama lebih enam bulan lalu dihentikan.

Menerusi hantaran di X, Menteri Luar Jordan Ayman Safadi berkata: “Semua lintasan darat ke Gaza mesti dibuka. Gencatan senjata mesti bermula sekarang.''

"Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mesti bertanggungjawab ke atas semua operasi kemanusiaan dan mempunyai akses penuh."

Safadi menyatakan bahawa apa-apa yang kurang daripada itu adalah satu lagi pembohongan dan tidak akan menyelesaikan malapetaka yang dicipta oleh Israel, sambil menekankan bahawa kebuluran penduduk Gaza mesti dihentikan.

Serangan berterusan Israel ke atas Semenanjung Gaza sejak 7 Oktober 2023 mengakibatkan kemusnahan kediaman dan infrastruktur pada skala besar dan kekurangan barangan keperluan selain membunuh lebih 33,000 warga Palestin dan 75,750 orang cedera.

Sekatan yang dikenakan Israel memburukkan lagi krisis kemanusiaan mengakibatkan penduduk Gaza mengalami kelaparan sehingga mengheret Israel ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa atas pertuduhan melakukan genosid.

- BERNAMA-ANADOLU

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.