ad
NASIONAL

Peluang dapatkan barangan keperluan raya di 753 cawangan Fama seluruh negara

5 Apr 2024, 7:23 AM
Peluang dapatkan barangan keperluan raya di 753 cawangan Fama seluruh negara

KUALA LUMPUR, 5 APRIL: Jualan Semarak Syawal Agro Madani diadakan di seluruh negara hingga menjelang sambutan Aidilfitri ini, bagi memberi peluang kepada pengguna mendapatkan barangan keperluan perayaan.

Ketua Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) Abdul Rashid Bahri berkata jualan itu yang bermula Rabu lepas, diadakan di 753 cawangan pemasaran Fama seperti Pasar Tani, Agrobazaar Rakyat dan Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC).

Beliau berkata majlis pelancaran jualan di peringkat kebangsaan pula akan dirasmikan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu di Pasar Tani Taman Sri Andalas, Klang, Selangor, esok.

“Penganjuran program bukan sahaja memberi peluang pasaran tambahan kepada usahawan untuk meningkatkan pendapatan sempena musim sambutan Aidilfitri, malah membolehkan pengguna membeli barangan keperluan pada harga berpatutan, sekali gus memperlihatkan ketersediaan bekalan agromakanan, adalah mencukupi.

“Selain barangan segar seperti daging, ayam dan sayur-sayuran, pengguna juga berpeluang untuk mendapatkan bekalan juadah Aidilfitri seperti ketupat, rendang, lemang dan kuih-muih untuk keperluan hari raya, yang turut dijual,” katanya dalam kenyataan selepas melancarkan program Jualan Agro Madani Edisi Pra-Syawal di Ibu Pejabat Fama hari ini.

Abdul Rashid berkata Fama akan memastikan bekalan barangan di setiap lokasi penganjuran itu akan mencukupi dan oleh itu, pengguna tidak perlu berasa khuatir untuk mendapatkan barangan keperluan tersebut.

Beliau berkata sehingga 31 Mac, program Jualan Agro Madani telah dilaksanakan di 1,737 lokasi di seluruh negara, melibatkan kira-kira 21,806 usahawan tempatan serta membawa nilai penjimatan kira-kira RM10.5 juta kepada pelanggan.

- BERNAMA

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.