ad
AGENDA

Impian beregu lelaki negara rangkul gelaran sulung jelajah dunia di Madrid lebur

31 Mac 2024, 3:19 PM
Impian beregu lelaki negara rangkul gelaran sulung jelajah dunia di Madrid lebur

KUALA LUMPUR, 31 MAC: Beregu lelaki negara Wan Muhammad Arif Wan Junaidi-Yap Roy King terlepas peluang merangkul gelaran sulung Jelajah Dunia apabila dikecewakan gandingan Sabar Karyaman Gutama-Moh Reza Pahlev Isfahani dari Indonesia pada final Kejohanan Badminton Masters Sepanyol 2024, malam ini.

Pada aksi di Pusat Sukan Perbandaran Gallur di Madrid itu, Wan Muhammad Arif-Roy King yang menghuni ranking ke-65 dunia memberikan saingan sengit sepanjang perlawanan yang berlanjutan hingga ke set penentuan sebelum kecundang 21-18, 17-21, 21-19 dalam tempoh 52 minit.

Pasangan negara yang tewas pada set pertama bangkit mencipta kemenangan penting pada set kedua sebelum meneruskan momentum positif pada set terakhir hingga berjaya mengikat kedudukan 19-19, namun gandingan lawan di ranking ke-34 dunia itu lebih unggul untuk mencipta kemenangan.

Keputusan pada final kejohanan berstatus Jelajah Dunia Super 300 itu menyaksikan Wan Muhammad Arif-Roy King mengalami kekalahan ketiga berturut-turut berdepan lawan sama.

Dalam pada itu, jaguh perseorangan lelaki Singapura Loh Kean Yew muncul juara selepas mengatasi wakil Perancis Toma Junior Popov 21-11, 15-21, 22-20, manakala gelaran juara perseorangan wanita menjadi milik Ratchanok Intanon dari Thailand yang menewaskan rakan senegara Supanida Katethong 21-12, 21-9.

Gandingan Indonesia Rinov Rivaldy-Pitha Haningtya Mentari menjuarai acara beregu campuran selepas mengalahkan Cheng Xing-Zhang Chi dari China 17-21, 21-12, 21-13, sementara Jepun merangkul gelaran beregu wanita menerusi Rin Iwanaga-Kie Nakanishi yang menjinakkan Febriana Dwipuji Kusuma-Amallia Cahaya Pratiwi dari Indonesia 12-21, 21-8, 21-16.

- BERNAMA

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.