SHAH ALAM, 27 MAC: Peruntukan undang-undang sedia ada mampu menangani penyelewengan pelaksanaan struktur percukaian, kata Timbalan Menteri Kewangan.
Lim Hui Ying berkata kerajaan akan melaksanakan sistem e-invois tahun ini secara berperingkat untuk mengesan ketidakpatuhan cukai dengan lebih efektif.
“Kementerian akan memantau dari semasa ke semasa dan memastikan semua berjalan dengan sewajarnya," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Muhammad Ismi Mat Taib (PN-Parit) pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Lim menambah kerajaan akan memberi tumpuan khusus mencapai kemampanan fiskal negara melalui peningkatan kecekapan perbelanjaan, mengurangkan ketirisan dan pembaziran.
“Kerajaan komited untuk meningkatkan sumber pendapatan negara, antaranya langkah mobilisasi hasil termasuk meluaskan asas hasil cukai.
“Selain itu, menambah baik dan menyemak semula struktur perundangan cukai serta pemberian insentif percukaian,” katanya.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan kerajaan juga menggubal Akta Tanggungjawab Fiskal 2023 berkuatkuasa 1 Januari 2024 untuk mengukuhkan tadbir urus dan disiplin fiskal negara.