SHAH ALAM, 27 MAC: Kerajaan membelanjakan RM210 juta setakat ini bagi menjayakan program bantuan Sumbangan Asas Rahmah (Sara) untuk disalur kepada golongan miskin dan miskin tegar.
Timbalan menteri kewangan berkata nilai bantuan isi rumah meningkat sekali ganda daripada RM600 kepada RM1,200, manakala bujang kekal RM600 untuk memperbaiki taraf hidup mereka.
“Penggunaan kredit program ini turut diperluas daripada hanya makanan asas kepada tiga kategori barangan asas tambahan iaitu kebersihan diri, ubat-ubatan dan alatan sekolah," kata Lim Hui Ying.
Menjawab soalan wakil rakyat Jeli Zahari Kechik dalam sidang Dewan Rakyat hari ini, beliau berkata sebanyak RM700 juta diperuntuk bagi pelaksanaan program itu untuk manfaat 700,000 orang.
Jelasnya lagi, jumlah berkenaan meningkat lebih lima kali ganda berbanding RM130 juta untuk 210,000 penerima tahun lalu bagi memastikan kelangsungan program subsidi bersasar itu.
Bantuan berkenaan diagih berperingkat secara kredit dan tunai mulai 22 Januari bagi penerima dari Semenanjung, manakala Sabah, Sarawak dan Labuan bermula 19 Februari.
Bagi penerima di Semenanjung, bantuan disalurkan secara bulanan iaitu RM100 untuk isi rumah dan warga emas tiada pasangan, sementara RM50 sebulan untuk bujang.
Penerima di Sabah, Sarawak dan Labuan pula menerima bantuan dua kali setahun iaitu RM600 (isi rumah dan warga emas tiada pasangan), manakala RM300 (bujang).