ad
ADN

Jasad ADN Kuala Kubu Baharu dikebumi di Shah Alam esok

24 Mac 2024, 12:16 PM
Jasad ADN Kuala Kubu Baharu dikebumi di Shah Alam esok

SHAH ALAM, 24 MAC: Jasad Ahli Dewan Undangan Negeri Kuala Kubu Baharu Lee Kee Hiong dijangka disemadikan menerusi upacara pembakaran di Nirvana Crematorium Shah Alam, Seksyen 21 di sini pagi esok.

Setiausaha DAP Selangor Ng Sze Han berkata sebelum itu, keluarga dan rakan rapat mendiang akan berkumpul di Nirvana Centre Kuala Lumpur pada 9.30 pagi sebelum jasadnya diarak ke Nirvana Crematorium Shah Alam bagi upacara pembakaran mayat.

“DAP Selangor mengucapkan takziah kepada keluarga YB (Yang Berhormat) Lee,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Ng, yang mengetuai jawatankuasa khusus bagi menguruskan pengebumian mendiang, memaklumkan upacara memberi penghormatan terakhir diadakan selama tiga hari mulai 22 Mac lepas di Nirvana Centre Kuala Lumpur.

Sementara itu, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari menerusi ciapan di aplikasi X memaklumkan beliau turut menziarahi dan memberi penghormatan terakhir hari ini kepada mendiang Lee yang meninggal dunia pada 21 Mac lepas.

“Saya menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mendiang atas pemergian ini. Saya turut rakamkan ucapan takziah buat rakan-rakan dari DAP atas kehilangan ini. Jasa dan khidmat mendiang di Kuala Kubu Baharu akan tetap diteruskan oleh kerajaan negeri,” katanya.

Lee, 58, yang menyandang kerusi itu sejak 2013, meninggal dunia setelah bergelut melawan kanser sejak beberapa tahun lepas.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.