ad
AGENDA

Jabatan bomba tumpu senggara kemudahan di balai lama seluruh negara

23 Mac 2024, 3:43 AM
Jabatan bomba tumpu senggara kemudahan di balai lama seluruh negara

ALOR GAJAH, 23 MAC: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) akan memberi keutamaan menaik taraf serta menyelenggara kemudahan balai bomba dan penyelamat (BBP) yang lama di seluruh negara, menerusi bajet inisiatif diterima jabatan itu.

Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) JBPM Datuk Ahmad Izram Osman berkata pada tahun lepas, sebanyak RM50 juta diperuntukkan bagi melakukan penambahbaikan di balai-balai berkenaan, untuk keselesaan anggotanya dalam menjalankan tugas.

“Menerusi lawatan kerja, saya melihat isu pembangunan dan penyelenggaraan kemudahan yang telah lusuh untuk kegunaan seharian seperti tandas, perlu diberi perhatian.

“Daripada bajet inisiatif diberi kerajaan, banyak perubahan positif dan penambahbaikan dibuat di seluruh negara termasuk di BBP Masjid Tanah ini, malah usaha itu akan diteruskan pada tahun ini menerusi bajet inisiatif tersebut,” katanya kepada pemberita selepas melakukan Lawatan Kerja Rasmi dan Majlis Berbuka Puasa di sini malam tadi.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lendu Datuk Seri Sulaiman Md Ali, Timbalan Pengarah JBPM Melaka R Saiful Iswandy R Hassan dan Pengerusi Biro Kebajikan Persatuan Isteri dan Pegawai Wanita JBPM (PERISMA) Datin Batiyah Bakar.

Sementara itu Ahmad Izram berkata pada majlis itu, 16 penerima terdiri daripada balu dan waris keluarga wira merah yang gugur ketika operasi, terlibat dalam kemalangan dan meninggal dunia, telah menerima sumbangan keseluruhan RM24,000 dengan masing-masing sebanyak RM1,500 seorang.

Beliau berkata program sumbangan Zon Selatan yang diagihkan itu merupakan hasil kerjasama PERISMA dan beberapa syarikat swasta kepada waris keluarga anggota yang bertugas di Melaka, Negeri Sembilan dan Johor.

-- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.