ad
AGENDA

Pembantu kantin didakwa bantu sembunyi wang RM125,000 milik seorang lelaki

21 Mac 2024, 7:53 AM
Pembantu kantin didakwa bantu sembunyi wang RM125,000 milik seorang lelaki

KUALA LUMPUR, 21 MAC: Seorang pembantu kantin sekolah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan membantu menyembunyikan wang milik seorang lelaki berjumlah RM125,000, tahun lepas.

Mislan Awi, 36, didakwa menolong menyembunyikan wang RM125,000 kepunyaan Wong Wai Cheng, 52, dengan tertuduh mengetahui wang tersebut bukan miliknya di Maybank Cawangan Taman Segar, Cheras di sini pada 9.36 pagi, 21 Okt 2023.

Pertuduhan mengikut Seksyen 424 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Raihanah Abd Razak menawarkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin, namun Mislan yang tidak diwakili peguam memohon jaminan dikurangkan kerana dia menanggung keluarga.

Hakim Azrul Darus membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 22 April ini untuk sebutan semula kes.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.