ad
AGENDA

MB: Sokongan wakil rakyat PN kukuhkan kerajaan perpaduan Selangor

18 Mac 2024, 1:30 AM
MB: Sokongan wakil rakyat PN kukuhkan kerajaan perpaduan Selangor

SHAH ALAM, 18 MAC: Sokongan Ahli Dewan Negeri (ADN) Selat Klang kepada pentadbiran negeri bakal mengukuhkan lagi kerajaan perpaduan di Selangor, kata Dato' Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata keputusan dibuat Datuk Abdul Rashid Asari baru-baru ini juga memotivasikan pimpinan akar umbi untuk terus berjuang menguatkan kerajaan sedia ada.

“Ini pilihan beliau. Saya rasa beliau sedar akibatnya khususnya selepas pindaan perlembagaan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu). Tindakan ini (juga) mungkin disebabkan isu dalaman,“ katanya.

Beliau ditemui selepas majlis berbuka puasa bersama komuniti pendidik di Dewan Raja Muda Musa, Seksyen 7 di sini, malam tadi

Pada 6 Mac, Abdul Rashid menyatakan sokongan kepada kepimpinan Amirudin berikutan tindakan Perikatan Nasional (PN) Selangor berdiam diri terhadap tohmahan kepada Raja-Raja Melayu.

Menegaskan keputusan itu dibuat dengan rela hati, bekas pengerusi Bersatu Selangor dalam kenyataan berpendapat tindakan gabungan tersebut juga berlawanan prinsip orang Melayu beragama Islam.

Jelasnya, langkah itu turut mengambil kira pujian Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor terhadap pentadbiran Amirudin dalam landasan tepat demi kemajuan dan kesejahteraan rakyat.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.