ad
ADN

Masjid, surau Taman Templer terima sumbangan RM90,500 aktiviti imarah Ramadan

17 Mac 2024, 4:00 AM
Masjid, surau Taman Templer terima sumbangan RM90,500 aktiviti imarah Ramadan

SHAH ALAM, 17 MAC: Sebanyak 37 masjid dan surau sekitar Taman Templer menerima sumbangan berjumlah RM90,500 bagi aktiviti pengimarahan institusi itu sepanjang Ramadan.

Wakil rakyatnya Anfaal Saari berkata peruntukan daripada Dewan Undangan Negeri (DUN) Taman Templer dan Parlimen Selayang meliputi empat masjid dan 33 surau.

“Semoga sumbangan ini dapat membantu pengurusan dalam mengimarahkan surau dan masjid di bulan Ramadan yang mulia ini.

“Alhamdulillah, tahun ini saya dapat bertemu dan berbuka puasa bersama-sama pengurusan surau dan masjid di DUN Taman Templer dalam Majlis Iftar dan Sumbangan Masjid Surau sempena Ramadan,” katanya menerusi Facebook.

EXCO pembangunan wanita dan kebajikan masyarakat itu turut menyatakan kesyukurannya kerana sebelum ini memberi sumbangan sebagai Ahli Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) dan tahun ini dapat menjalankan tanggungjawab sebagai Ahli Dewan Negeri (ADN).

“Bersyukur kerana sebelum ini saya memberi sumbangan sebagai Ahli Majlis Perbandaran Ampang Jaya dan tahun ini menjalankan tanggungjawab menyampaikan sumbangan sebagai ADN,” katanya.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.