ad
AGENDA

Bayi maut dikelar ibu, hantar gambar anak berlumuran darah kepada suami

17 Mac 2024, 12:39 AM
Bayi maut dikelar ibu, hantar gambar anak berlumuran darah kepada suami

JOHOR BAHRU, 17 MAC: Bayi lelaki berusia setahun enam bulan maut dipercayai dikelar ibunya di sebuah kawasan perumahan di Pasir Gudang di sini semalam.

Ketua Polis Johor CP M Kumar berkata kejadian berlaku 1.30 tengah hari dan siasatan awal mendapati wanita berusia 32 tahun itu turut menghantar gambar anaknya yang berlumuran darah kepada suaminya menerusi Whatsapp.

"Sebilah pisau yang dipercayai digunakan untuk mengelar mangsa turut dirampas di lokasi kejadian," katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultan Ismail (HSI) untuk bedah siasat dan motif kejadian masih dalam siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

"Orang ramai diminta tidak membuat spekulasi yang boleh mengganggu siasatan kes," katanya dan menambah permohonan reman mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah akan dimohon hari ini.

Sementara itu dalam kes berlainan, beliau berkata pihaknya menahan lima lelaki berusia 35 hingga 48 tahun bagi membantu siasatan penemuan mayat seorang lelaki berusia 61 tahun.

Kesemua mereka katanya mempunyai rekod lampau membabitkan kesalahan jenayah dan dadah.

Beliau berkata mayat mangsa ditemukan pada 10.50 pagi di Taman Rinting, Masai dengan beberapa kesan luka tetakan pada tubuh.

Katanya mayat dibawa ke HSI untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.