ad
AGENDA

Polis selamat empat wanita warga India dipercayai mangsa pemerdagangan

16 Mac 2024, 3:05 PM
Polis selamat empat wanita warga India dipercayai mangsa pemerdagangan

JOHOR BAHRU, 16 MAC: Polis menyelamatkan empat wanita warga India dipercayai menjadi mangsa pemerdagangan manusia untuk tujuan eksploitasi seks dalam serbuan di sebuah pangsapuri di Larkin, di sini petang semalam.

Ketua Polis Johor CP M. Kumar berkata dalam serbuan kira-kira 2.15 petang itu, polis turut menahan seorang lelaki tempatan berusia 32 tahun dan seorang wanita warga India berusia 36 tahun dipercayai berperanan sebagai pengurus rumah persundalan dan ‘transporter’ atau pengangkut.

"Siasatan awal mendapati kesemua mangsa yang berusia antara 24 hingga 39 tahun datang ke Malaysia dengan ditawarkan kerja dalam bidang teknologi maklumat dan sebagai pembantu rumah.

"Namun setibanya di negara ini, mangsa telah dikurung dan dipaksa menjadi pelacur dengan bayaran RM2,300 sebulan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata hasil saringan air kencing menunjukkan lelaki berkenaan positif dadah jenis Methamphetamine.

Menurut Kumar kedua-duanya direman seminggu hingga Jumaat depan manakala perintah perlindungan sementara bagi kesemua mangsa dibenarkan selama 21 hari bermula hari ini hingga 5 April depan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 serta Seksyen 55 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

-- BERNAMA

 

TAG: wanita, India, M. Kumar, pemerdagangan, eksploitasi seks

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.