ad
AGENSI

3,000 kupon digital diedar kepada orang ramai sempena Kempen PLATS Masuk Bazar

16 Mac 2024, 2:19 AM
3,000 kupon digital diedar kepada orang ramai sempena Kempen PLATS Masuk Bazar
3,000 kupon digital diedar kepada orang ramai sempena Kempen PLATS Masuk Bazar

Oleh NAS NORZIELA NASBAH

PETALING JAYA, 16 MAC: Sebanyak 3,000 Kupon Digital Rahmah bernilai RM10 diedar kepada orang ramai sempena kempen Platform Selangor (PLATS) Masuk Bazar.

Ketua Tanggungjawab Sosial Korporat Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI, Ahmad Azri Zainal Nor berkata edaran kupon digital itu adalah kesinambungan daripada PLATS Masuk Pasar.

“Untuk Ramadan kali ini, kita jelajah lapan lokasi terpilih dan edaran kupon digital adalah RM10 berbanding PLATS Masuk Pasar iaitu RM5.

“Kita mahu galakkan penggunaan tanpa tunai dalam kalangan pengunjung selain membantu golongan perusahaan kecil mikro sederhana untuk mengadaptasi digitalisasi dalam perniagaan,” katanya ketika ditemui di bazar Ramadan Jalan SS 6/1, Kelana Jaya, semalam.

[caption id="attachment_633240" align="aligncenter" width="821"] Datuk Bandar Petaling Jaya Mohamad Zahri Samingon (tiga dari kanan) menerima risalah kesihatan daripada Pengarah Kesihatan Negeri Selangor, Dr Ummi Kalthom Shamsudin pada program lawatan datuk bandar Petaling Jaya ke bazar Ramadan 2024 di Jalan SS 6/1, Kelana Jaya, pada 15 Mac 2024. Foto NAS NORZIELA NASBAH/SELANGORKINI[/caption]

Beliau berkata untuk bazar Ramadan di bawah pentadbiran Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) itu, pihaknya mengedarkan 550 kupon digital khas berjumlah RM20 setiap satu.

PLATS diperkenal pada Ramadan 2020 bagi melengkapkan ekosistem Agenda Digitalisasi Selangor menerusi platform digital susulan penularan wabak Covid-19.

Ia merupakan inisiatif Kerajaan Selangor bagi membantu golongan perusahaan kecil mikro sederhana untuk mengadaptasi digitalisasi dalam perniagaan.

PLATS juga memperkenalkan inisiatif baharu iaitu program Latihan Pembangunan Usahawan Plats (U-PLATS) bagi membantu usahawan menguruskan perniagaan secara digital.

Dalam meneruskan agenda pendigitalan, tahun lalu, PLATS memperkenal Kempen PLATS Masuk Pasar yang diadakan selama dua bulan di 12 lokasi terpilih seluruh negeri dengan mengedar sebanyak 20,000 Kupon Digital Rahmah bernilai RM5.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.