ad
AGENDA

All England: Aaron-Wooi Yik ke pusingan kedua, Yew Sin-Ee Yi tersingkir awal

12 Mac 2024, 3:04 PM
All England: Aaron-Wooi Yik ke pusingan kedua, Yew Sin-Ee Yi tersingkir awal

KUALA LUMPUR, 12 MAC: Beregu utama negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik memulakan kempen di kejohanan All England 2024 dengan langkah kanan apabila mengetepikan cabaran rakan senegara Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani pada perlawanan pembukaan di Birmingham, hari ini.

Pilihan kelima kejohanan itu mengambil masa 33 minit sebelum menewaskan Sze Fei-Nur Izzuddin 21-17, 21-19 dalam perlawanan yang berlangsung di Utilita Arena.

Juara dunia 2022 itu akan berdepan gandingan Taiwan, Chang Ko-Chi-Po Li-Wei yang menewaskan Kevin Lee-Ty Alexander Lindeman dari Kanada 21-14, 21-10.

Satu lagi beregu lelaki negara yang merupakan pasangan profesional Ong Yew Sin-Teo Ee Yi, gagal mengikuti jejak rakannya apabila terkandas di pusingan pertama selepas tunduk kepada wakil China, Liu Yu Chen-Ou Xuan Yi 21-15, 21-23, 14-21.

Selepas dua kali tewas kepada Thom Gicquel-Delphine Delrue, beregu campuran profesional negara Tan Kian Meng-Lai Pei Jing akhirnya bangkit dari ketinggalan untuk mengetepikan pasangan dari Perancis 12-21, 21-19, 21-14 dalam aksi lebih satu jam itu.

Menanti pasangan negara di pusingan kedua ialah pilihan kelapan kejohanan Tang Chun Man-Tse Ying Suet dari Hong Kong.

Chun Man-Ying Suet sebelum itu menewaskan gandingan Indonesia, Rehan Naufal Kusharjanto-Lisa Ayu Kusumawati 21-14, 19-21, 21-18.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.