ad
AGENDA

Stor haram di Dengkil simpan 12,000 liter diesel bersubsidi diserbu, dua lelaki ditahan

11 Mac 2024, 10:25 AM
Stor haram di Dengkil simpan 12,000 liter diesel bersubsidi diserbu, dua lelaki ditahan

PUTRAJAYA, 11 MAC: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) merampas 12,000 liter minyak diesel bersubsidi dan menahan dua lelaki selepas menyerbu sebuah stor haram di Dengkil, dekat sini tiga hari lepas.

Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN Datuk Azman Adam berkata serbuan pada pukul 5.30 petang itu dilacarkan oleh anggota penguat kuasa KPDN Cawangan Sepang hasil risikan awal KPDN Putrajaya beberapa hari sebelumnya.

Beliau berkata selain minyak diesel berkenaan, beberapa peralatan lain yang digunakan untuk kegiatan penyelewengan turut ditemukan, antaranya sebuah lori, beberapa tangki jenis Bekas Pukal Perantaraan (IBC) yang berisi minyak diesel, paip penyambung dan beberapa dokumen berkaitan.

“Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM49,100 manakala dua lelaki berumur 44 tahun dan 57 tahun direman bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Azman, modus operandi sindiket adalah mengisi minyak diesel bersubsidi daripada beberapa stesen minyak sekitar kawasan berhampiran dengan menggunakan lori yang telah diubah suai sebelum dibawa stor haram sebagai tempat untuk menyimpan dan memindahkan minyak diesel bersubsidi, untuk dijual di pasaran gelap.

Beliau berkata kertas siasatan telah dibuka dan siasatan lanjut ke atas dilakukan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) bagi mengenal pasti individu atau syarikat yang terlibat dalam aktiviti itu serta rantaian pengedaran minyak diesel berkenaan, termasuk sumber minyak diesel itu diperolehi dan diedarkan.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.