ad
BERITA UTAMA

Negeri sasar sedia 3,000 unit Skim Smart Sewa menjelang 2025

10 Mac 2024, 9:15 AM
Negeri sasar sedia 3,000 unit Skim Smart Sewa menjelang 2025

HULU SELANGOR, 10 MAC: Kerajaan Negeri menyasar penyediaan sehingga 3,000 unit Skim Smart Sewa menjelang 2025 bagi membantu rakyat berpendapatan sederhana menyewa rumah.

EXCO Perumahan Borhan Aman Shah menjelaskan sebanyak 1,377 unit dibeli Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor untuk tujuan itu, dengan 852 unit disewakan sehingga kini.

"Bagi merealisasikan sasaran 3,000 unit, cadangan pembelian Skim Smart Sewa akan diteruskan pada 2024 dengan sasaran sebanyak 810 unit melalui peruntukan tambahan RM220 juta," katanya.

Beliau ditemui selepas majlis penyerahan kunci projek Rumah Selangorku PPAM di Galeri Jualan Persiaran Selindung Daun, Jalan Ulu Yam Bharu di sini hari ini.

Borhan menambah Shah Alam antara lokasi tumpuan bagi penyediaan skim berkenaan berikutan mendapat permintaan tinggi daripada orang ramai khususnya pasangan baharu berkahwin.

Merujuk kawasan itu, jelasnya, program yang diperkenal sejak 2016 menyediakan 200 unit untuk disewa di Setia Alam dan berbaki 15 unit lagi yang masih kosong.

"Banyak lagi projek perumahan di Shah Alam yang sedang dirancang untuk itu. Selain Shah Alam, beberapa lokasi lain turut dalam perhatian termasuk Hulu Langat, Selayang dan Ampang,” katanya.

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.