ad
BUDAYA

Sewa ular sawa

9 Mac 2024, 12:45 AM
Sewa ular sawa

Oleh Asyraf Bakti

Ular vegetarian. Wak Sekan sendiri tidak pernah terfikir pelan perniagaan seperti ini mampu jadikan dirinya tersohor satu dunia. Sehinggakan, jika hendak diukur tahap terkenal dirinya dalam dunia biodiversiti, cukuplah dia tunjukkan kepada para media yang datang menemu ramahnya, nombor telefon David Attenborough yang tersimpan rapi dalam kad memori. Dia bukanlah nak cakak sedak, tapi jika para media masih berasa tertipu dengan nombor yang ditunjukkannya, dia keluarkan senjata terakhirnya; gambar dia sedang makan ikan celup tepung dengan abey Att di Warung Pok Nong sesudah selesai Projek Bantuan Banjir untuk penduduk Pantai Timur beberapa tahun lepas.

Wak Sekan sebenarnya sudah lama membantu mangsa banjir secara probono. Selama ini, dia ikhlas kerana dia sendiri sudah ada duit pencen sebagai sarjan polis. Tapi memandangkan populariti dan permintaan pasaran yang dia terima, dia terpaksa menetapkan harga siling bagi servis ular vegetariannya – yang mampu menelan barang-barang berharga seperti kerusi jati, mesin kopi, sekadar menamakan beberapa supaya yang benar-benar mahukan servis itu boleh mendapatkannya. Ular yang dia namakan Kangkung ini sebenarnya dia sudah berjumpa lama semasa dia berkhidmat sebagai anggota.

Semasa hari pertemuan, matanya yang tertutup sebelah buatkan Wak Sekan kasihan kepadanya. Dia tahu binatang yang menjalar di dalam hutan ini punya risiko tinggi untuk mata masuk habuk pasir atau tanah. Berbekalkan sedikit doa dan selawat yang dipelajari, Wak Sekan hembus perlahan-lahan dari jauh ke arah mata Kangkung. Terbuka matanya dan terlihat sedikit senyuman yang terukir tanda terima kasih.

Koperal Adnan Timbang yang juga menyaksikan kejadian itu terus melihat dengan penuh keajaiban tanpa kelip mata walaupun sedikit. Wak Sekan menyuruh Kangkung pulang ke tempat asal ia datang tapi dia hanya memandang penuh sayu seperti binatang peliharaan yang menunggu untuk dibela dan dianak-angkat.

Koperal Adnan: Wak. Saya rasa dia nak ikut Wak balik kem tu.

Wak Sekan: Kau jangan buat gila, Nan. Ular sawa ni, bukan ular plastik.

Kangkung seolah-olah mengerti apa yang dibualkan oleh mereka berdua dan tidak secara sengaja, bergenang air mata mengenang nasibnya yang akan berulang sama. Wak Sekan pantang melihat adegan basah mata bergenang derita ini. Hatinya jadi sayu sesayu peniaga jalanan yang mendengar bunyi guruh hujan. Mahu tidak mahu, dia bawa pulang juga Kangkung ke rumahnya.

Dari mana datangnya nama Kangkung?

Ini pengalaman pertamanya membela ular sawa sebagai binatang peliharaan. Dia sediakan kotak kertas beralaskan tuala dan tanpa perlu disuruh, Kangkung masuk perlahan-lahan dan melentokkan diri.

Wak Sekan sebenarnya dalam fasa berjaga-jaga pada malam itu kerana dia masih tidak pasti tentang muslihat yang ada. Sambil dia baringkan badan, sambil itu juga dia memikirkan nasib jika ular yang dibelanya itu memakan dirinya. Tetapi, dia agak musykil dengan diet pemakanan Kangkung kerana lalu saja di sebelah reban ayam jirang kampung sebelah, dibuat 'dek' saja seolah-olah tidak terliur atau itu bukan kitaran pemakanannya. Tetapi, bila lalu di sebelah kebun tanaman, lama Kangkung berhenti merenung dan menjelirkan lidah. Wak Sekan tidak mengesyaki apa-apa lagi dan hanya terdetik yang Kangkung hanya ingin mengambil angin kerana letih menyusur.

Tidak dapat tidur adalah satu resah yang boleh buat kita basah berpeluh. Juga lapar. Wak Sekan bangun ke dapur untuk perhangat lauk yang dia beli di kedai siam tadi, yang dikiranya untuk buat lauk sahur puasa sunat, tetapi dibatalkan dan biarlah kangkung masak belacan, sup belut, serta telur bistik dijamah awal sambil boleh melihat Kangkung secara dekat.

Wak Sekan memilih untuk makan bersila walaupun boleh mendatangkan sedikit sakit tulang belakang. Itu saja caranya untuk dia dapat bertentang mata dengan ularnya yang sedang lena diulit mimpi hutan. Bungkusan lai ci kang dibuka perlahan lalu dituang ke dalam mangkuk. Disedut perlahan-lahan untuk tidak mengganggu momentum lelap mata, tetapi Kangkung seolah-olah dirasuk sesuatu, dia secara terkejut kembangkan kepala dan memanggung sambil melihat ke arah pinggan lauk.

Wak Sekan sudah bersedia dengan parang di belakang badannya. Jika takdir mengatakan persahabatan antara mereka berdua hanya untuk sehari dua sahaja, Wak Sekan redha tetapi malangnya curiganya tersasar. Kangkung mengecut dan menyusur perlahan ke pinggan kangkung dan membuat muka kesian seperti seekor kucing.

“Kau nak makan kangkung ni ke?”

Hanya mengangguk sedikit dan Wak Sekan ambilkan pinggan baharu dan meletakkan sesudu dua dan ternyata, ini ular vegetarian pertama yang pernah dilihat di depan mata.

Momen-momen persahabatan dan pelan perniagaan banjir yang selebihnya tinggal sejarah dan kini setelah masuk hari ke 560 hari persahabatan mereka berdua, Tuhan sudah aturkan di sebuah klinik haiwan, di musim hujan lebat dan banjir itu satu adegan titik perpisahan. Dia mendapat panggilan dari doktor, Kangkung mungkin akan pergi buat selamanya. Dikira-kira, ini semuanya selepas menyelamatkan satu peti besi dari rumah seorang Dato kaya di hujung Kampung Manis Banyak.

Doktor terangkan lagi. “Kemungkinan dia termakan duit rasuah yang ada dalam peti keselamatan itu, kerana kami terjumpa cebisan duit-duit itu di celah-celah giginya.”

Air mata meleleh kerana lagu selamat tinggal telah dimainkan di tepi telinga. Wak Sekan memeluk ‘kawan’ kesayangannya dan Kangkung dengan sedikit tenaga yang ada, melilit tanda pelukan terakhir kepada tuannya yang bukan vegetarian.

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.