ad
AGENDA

LKIM hasrat buka 10 lagi pasar nelayan, mudahkan rakyat dapat ikan segar murah

8 Mac 2024, 7:30 AM
LKIM hasrat buka 10 lagi pasar nelayan, mudahkan rakyat dapat ikan segar murah

KUALA NERUS, 8 MAC: Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) merancang untuk membuka 10 lagi Pasar Nelayan di seluruh negara tahun ini.

Pengerusinya berkata pihaknya telah mengarahkan LKIM negeri supaya mengenal pasti dan mengemukakan cadangan lokasi yang sesuai bagi membolehkan projek itu dilaksanakan dengan segera.

Muhammad Faiz Fadzil berkata hal itu bagi meningkatkan ekonomi para nelayan dan membolehkan lebih ramai rakyat mendapat manfaat bekalan ikan segar pada harga lebih murah berbanding pasaran.

"Setakat ini kita dah ada 137 Pasar Nelayan di seluruh negara dengan sembilan daripadanya terletak di Terengganu.

"Untuk tahun ini kita sasar pembinaan 10 lagi Pasar Nelayan baharu di beberapa negeri, tetapi kena kenal pasti lokasi yang benar-benar strategik. Sebuah Pasar Nelayan memerlukan kos lebih RM200,000 untuk disiapkan," katanya pada sidang media selepas merasmikan Pasar Nelayan Seberang Takir di sini, hari ini.

Turut hadir Pengarah Bahagian Pemasaran dan Pelesenan LKIM Abdul Salim Tajudin dan Pengarah LKIM Terengganu Ahmad Nazri @ Abd. Zaim Madri.

Sementara itu Muhammad Faiz berkata pihaknya juga telah mengenal pasti 77 Pasar Nelayan yang tidak aktif di seluruh negara.

Menurutnya perkara itu berlaku susulan kedudukan pasar yang tidak strategik iaitu jauh dari taman perumahan atau penempatan.

"Sebab itu kita perlu kenal pasti lokasi yang betul-betul strategik untuk bina Pasar Nelayan baharu. Kita tak mahu sekadar buat tetapi akhirnya tak dapat sambutan mengggalakkan dan projek tidak dimanfaatkan.

"Di Terengganu lapan Pasar Nelayannya aktif dan mencatat nilai jualan sebanyak RM6.1 juta sebulan. Dan yang terbaharu, Pasar Nelayan Seberang Takir ini yang baru dibuka Januari lalu saya difahamkan mencatat jualan antara RM90,000 hingga RM150,000 sebulan," katanya.

LKIM juga katanya akan melancarkan trak ikan bergerak yang lebih moden dan sistematik di Kuala Lumpur dan Selangor tidak lama lagi.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.