ad
AGENDA

Pembakaran terbuka, Selangor rekod 283 kes dua bulan pertama tahun ini

7 Mac 2024, 2:20 PM
Pembakaran terbuka, Selangor rekod 283 kes dua bulan pertama tahun ini

SHAH ALAM, 7 MAC: Insiden pembakaran terbuka di Selangor adalah membimbangkan dan perlu diberi perhatian serius, kata Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Datuk Nor Hisham Mohammad.

Beliau berkata untuk dua bulan pertama tahun ini sahaja, sebanyak 283 kes pembakaran terbuka melibatkan kebakaran kebun, ladang, hutang, belukar, tanah gambut dan sampah direkodkan di negeri itu.

“Dari jumlah itu, kebakaran melibatkan kebun dan ladang adalah sebanyak 26 kes, hutan (40), belukar dan lalang (112), tanah gambut dan pembakaran sampah masing-masing dua dan 103 kejadian.

“Dengan musim panas dan kering yang berlaku ketika ini, kita bimbang jumlah kes akan bertambah…mengambil kira 220 kes pembakaran terbuka yang direkodkan berlaku dalam tempoh sama, tahun lepas,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang JBPM Selangor di sini hari ini.

Nor Hisham berkata kes pembakaran terbuka melibatkan kebun, ladang, hutang dan belukar yang sebahagian besarnya disebabkan oleh pembukaan tanah pertanian perlu ditangani secara bersama oleh semua agensi berkaitan kerana insiden tersebut memberi kesan kepada usaha menangani jerebu rentas sempadan.

Beliau berkata kes kebakaran terbuka di Selangor adalah sensitif kerana insiden tersebut menyumbang kepada kedudukan Malaysia dari segi statistik titik panas di rantau ini disebabkan bilangan kawasan hotspot di negeri itu.

Menurutnya kekerapan kebakaran di Selangor biasanya melibatkan empat kawasan titik panas utama, iaitu Hutan Simpan Kuala Langat Selatan dan Utara, Kampung Johan Setia dan Hutan Simpan Raja Muda Musa.

Untuk tahun lepas, kawasan hotspot ini merekodkan 24 jumlah kekerapan kebakaran dan pada tahun ini, dua kebakaran direkodkan di kawasan berkenaan setakat Februari, katanya.

-- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.