ad
AGENDA

Pemandu bas hisap rokok sambil isi minyak boleh didenda, dipenjara

1 Mac 2024, 1:01 AM
Pemandu bas hisap rokok sambil isi minyak boleh didenda, dipenjara

IPOH, 1 MAC: Polis memandang serius tindakan pemandu bas persiaran mengisi minyak sambil merokok di sebuah stesen minyak di Lebuhraya Utara Selatan arah selatan, Behrang yang tular menerusi sebuah video kelmarin.

Ketua Polis Daerah Muallim Superintenden Mohd Hasni Mohd Nasir berkata semakan pihaknya mendapati insiden itu berlaku Ahad lalu.

"Pemilik stesen minyak membuat aduan terus kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup yang bertanggungjawab mengambil tindakan atas perbuatan yang dilakukan pengguna tersebut," menurutnya dalam kenyataan malam tadi.

Beliau berkata kesalahan yang dilakukan boleh diambil tindakan mengikut Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 yang memperuntuk hukuman maksimum penjara tiga tahun atau denda RM10,000 jika sabit kesalahan.

Justeru, katanya pihak polis menasihati orang ramai supaya tidak merokok di kawasan larangan terutama stesen minyak yang boleh menyebabkan kecederaan, bencana dan membahayakan nyawa orang ramai.

Terdahulu, tular video berdurasi 57 saat memaparkan lelaki menghisap rokok sambil mengisi minyak dan rata-rata warganet meninggalkan komen negatif kerana bimbang berlaku perkara tidak diingini akibat perlakuan itu.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.