ad
PBT

MBSA lulus 1,134 permit bazar Ramadan, julung kali perkenal sistem ujian

27 Feb 2024, 8:30 AM
MBSA lulus 1,134 permit bazar Ramadan, julung kali perkenal sistem ujian

SHAH ALAM, 27 FEB: Sebanyak 1,134 permit bazar Ramadan diluluskan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) membabitkan 27 lokasi di seluruh bandar raya itu pada tahun ini.

Pengarah korporat dan perhubungan awamnya berkata MBSA turut menyelaras tambahan 936 permit bazar Ramadan bawah penganjuran swasta, persatuan atau Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK).

“Sebanyak 27 lokasi tapak bazar telah disediakan dan diuruskan secara langsung MBSA, antaranya di Seksyen 6, 7, 8, 9, 13, 16, 17, 18, 19, 20, 24, 25, 27, 28, 35, U2, U3, U5, U8, U13, dan U20

“Manakala bagi permit tambahan, MBSA luluskan di 12 lokasi seperti Stadium Shah Alam Kompleks PKNS, Seksyen 20, Seksyen U10, dan Seksyen U20,” kata Mohd Azhar Mohd Sharif menerusi kenyataan.

Semalam, majlis penyerahan permit dan kit bazar Ramadan MBSA disempurnakan EXCO Pemberdayaan Usahawan Najwan Halimi dan Datuk Bandar Shah Alam Cheremi Tarman di Pusat Konvensyen MBSA di sini.

Menurut Mohd Azhar, buat julung kalinya MBSA melaksana sistem ujian secara atas talian bagi permohonan permit bazar Ramadan membabitkan syarat perlesenan dan tatacara pengendalian makanan dan pengurusan sisa.

Jelasnya, sistem baharu tersebut bagi meningkatkan pemahaman peniaga selain memupuk kesedaran nilai-nilai murni dalam kebersihan penyediaan makanan dan minuman.

“Melalui sistem ini, peniaga perlu menonton video mengenai syarat perlesenan MBSA dan tatacara pengendalian makanan serta pengurusan sisa sebelum menjawab soalan yang disediakan secara atas talian,” katanya.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.