ad
AGENSI

MBSA meterai MoU bersama MBI, latih usahawan, cipta peluang niaga

27 Feb 2024, 5:08 AM
MBSA meterai MoU bersama MBI, latih usahawan, cipta peluang niaga

SHAH ALAM, 27 FEB: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) memeterai memorandum persefahaman (MoU) bersama Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI di Pusat Konvensyen MBSA, semalam.

Pengarah Korporat dan Perhubungan Awam MBSA berkata kerjasama tersebut bagi pelaksanaan kempen bersama anak syarikat MBI iaitu Platform Selangor (PLATS) dan Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah Selangor).

“Kerjasama ini selaras matlamat Program Pembangunan Usahawan @Shah Alam iaitu mewujudkan ekosistem keusahawanan yang holistik dan kondusif bagi menyokong agenda pembangunan keusahawanan negeri.

“Antara aktiviti pelaksanaannya meliputi latihan keusahawanan, mewujudkan peluang perniagaan baharu, penyediaan pembiayaan, pemasaran produk serta penyediaan premis perniagaan strategik,” kata Mohd Azhar Mohd Sharif dalam kenyataan.

Majlis menandatangani MoU itu disempurnakan Datuk Bandar Shah Alam Cheremi Tarman dan Ketua Pegawai Eksekutif MBI Saipolyazan Mat Yusop sambil disaksikan EXCO Pemberdayaan Usahawan Najwan Halimi.

Mohd Azhar berkata, sebagai permulaan kepada kerjasama itu gerai majlis di Alam Impian, Seksyen 35 dijadikan lokasi contoh Gerai Digital yang mengadaptasi konsep digitalisasi bawah insiatif PLATS.

Malah katanya, lokasi sama juga akan diuruskan Hijrah Selangor pada Ramadan akan datang selain dijadikan pusat bagi program pengumpulan minyak masak terpakai.

“Selain itu, MoU ini turut memeterai beberapa inisiatif kerjasama seperti pemasangan stesen pengecasan kenderaan elektrik (EV) oleh Petronas bagi menyahut sasaran 10,000 stesen pengecasan kenderaan elektrik (EV) menjelang 2025,” katanya.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.