ad
AGENDA

Hampir RM170 juta bantuan wang ihsan diagih kepada mangsa bencana

27 Feb 2024, 4:50 AM
Hampir RM170 juta bantuan wang ihsan diagih kepada mangsa bencana
Hampir RM170 juta bantuan wang ihsan diagih kepada mangsa bencana

KUALA LUMPUR, 27 FEB: Hampir RM170 juta Bantuan Wang Ihsan (BWI) diagihkan kepada 168,959 Ketua Isi Rumah (KIR) mangsa bencana di seluruh negara bagi musim Monsun Timur Laut (MTL) 2022/2023, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri berkata RM560,000 BWI Kematian juga diagihkan kepada 56 waris mangsa bencana yang meninggal dunia.

Beliau berkata bagi musim MTL 2023/2024, ia masih belum tamat, namun kerajaan Persekutuan melalui Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) telah menyalurkan peruntukan awal bantuan bencana kepada semua negeri berjumlah RM232 juta untuk mempercepatkan proses agihan BWI kepada KIR mangsa bencana yang terjejas dan memenuhi syarat kelayakan ditetapkan.

[caption id="attachment_567937" align="aligncenter" width="722"] Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri ketika sesi soal jawab pada sidang Dewan Rakyat di bangunan Parlimen pada 22 Februari 2023. Foto BERNAMA[/caption]

“Pemberian wang ihsan ini bukan merupakan satu bentuk pampasan terhadap kerugian yang dialami mangsa bencana, tetapi ia lebih merupakan tanda keprihatinan kerajaan Persekutuan bagi meringankan beban mangsa bencana,” katanya.

Beliau menjawab soalan Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff (PN-Rantau Panjang) mengenai dasar bantuan kepada mangsa banjir serta jumlah pampasan termasuk bantuan wang ihsan banjir pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Nancy berkata selain bantuan kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri boleh mengenal pasti bantuan lain untuk disumbangkan melalui agensi-agensi peringkat negeri seperti lembaga zakat dan badan-badan korporat untuk membantu meringankan beban mangsa bencana.

Selain itu, beliau berkata bagi memperkasa kesiapsiagaan menangani impak fenomena cuaca panas dan kering semasa peralihan MTL yang dijangka berterusan sehingga penghujung Mac, kerajaan telah bersetuju melaksanakan Operasi Pembenihan Awan (OPA) bagi menjamin sumber air mencukupi di kawasan tadahan hujan sepanjang tempoh tersebut.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.