ad
AGENDA

DBKL ambil tindakan tegas penjaja eksploitasi tapak bazar Ramadan

25 Feb 2024, 12:22 PM
DBKL ambil tindakan tegas penjaja eksploitasi tapak bazar Ramadan

KUALA LUMPUR, 25 FEB: Penjaja yang didapati menyewakan tapak bazar Ramadan kepada pihak lain akan dikenakan tindakan tegas oleh pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), kata Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri Datuk Azman Abidin.

Beliau berkata demikian susulan terdapat dakwaan bahawa tapak bazar Ramadan pada tahun-tahun sebelum ini dieksploitasi oleh pihak tidak bertanggungjawab yang mengambil kesempatan dengan menyewakan tapak itu dengan kadar bayaran lebih tinggi kepada peniaga lain.

"Kita telah maklumkan kepada penguat kuasa DBKL bahawa kita perlu lebih tegas untuk tahun ini. Sekiranya kita dapati ada penjaja yang dapat (tapak) dan sewakan kepada orang lain, kita terus rampas lesen itu dan tidak dibenarkan berniaga selama-lamanya oleh DBKL," katanya ketika ditemui selepas program Sumbangan Back To School di Institut Latihan DBKL di sini hari ini.

Azman berkata meskipun isu terbabit dilihat mencabar untuk ditangani, DBKL mempunyai pasukan petugas untuk melaksanakan penguatkuasaan membabitkan kesalahan itu.

"Hal ini kerana kita tidak boleh kenal pasti mereka (yang menyewakan tapak dan menjual lesen) kerana walaupun mereka sudah sewakan (tapak) kepada orang lain, apabila ditangkap orang itu maklumkan dia bekerja dengan pelesen berkenaan.

"Jadi, itu antara masalah yang dihadapi. Tetapi kita cuba untuk pastikan perkara ini tidak berlaku lagi," katanya.

-BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.