ad
AGENSI

Sidec teruskan anugerah peniaga e-dagang, tawar hadiah RM100,000

22 Feb 2024, 8:07 AM
Sidec teruskan anugerah peniaga e-dagang, tawar hadiah RM100,000

SHAH ALAM, 22 FEB: Anugerah Peniaga e-Dagang Utama Malaysia (Top ECM) anjuran Perbadanan Teknologi Maklumat Ekonomi Digital Selangor (Sidec) diteruskan buat kali kesembilan dengan ganjaran hadiah bernilai RM100,000.

Ketua pegawai eksekutif Sidec berkata anugerah berprestij yang diperkenal sejak 2016 bagi mengiktiraf usahawan itu dibuka sejak 1 Februari dan tarikh tutup pendaftaran 29 Februari ini.

Jelas Yong Kai Ping, untuk penganjuran kali ini, pihaknya menambah beberapa elemen baharu bertujuan memperkasa pengetahuan dan kemahiran peserta sekali gus mampu meningkatkan perniagaan mereka.

“Antaranya, penumpuan kepada teknik penstriman, penciptaan kandungan AI (kecerdasan buatan), strategi pemasaran dan lawatan industri. Peserta dapat menimba pengalaman dan pengetahuan berharga,” katanya pada majlis pelancaran Top ECM 2024 di sini hari ini.

Menurut Kai Ping, Affin Bank meneruskan komitmen sebagai penaja utama buat kali kelima berturut-turut selain penganjuran kali ini turut menjalin kerjasama strategik dengan Lazada, Razer Merchant Service dan Shopline.

Sementara itu EXCO Usahawan Najwan Halimi ketika merasmikan majlis berkata Top ECM edisi ini melibatkan kategori utama, kategori Selangor, kategori khas Affin Bank, kategori khas Lazada serta anugerah khas Affin bank.

“Anugerah Top ECM ini memainkan peranan penting dan berfungsi sebagai platform dalam pembangunan ekonomi. Ini juga merupakan usaha memperkasa golongan usahawan,” katanya.

Maklumat lanjut mengenai pendaftaran boleh diperolehi menerusi laman sesawang https://www.sidec.com.my/topecm/

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.