ad
AGENDA

Program Madani Rakyat: Pelbagai perkhidmatan sosial disedia kepada pengunjung

21 Feb 2024, 6:13 AM
Program Madani Rakyat: Pelbagai perkhidmatan sosial disedia kepada pengunjung

KUALA LUMPUR, 21 FEB: Reruai Kesejahteraan Rakyat pada Program MADANI Rakyat Zon Tengah yang akan berlangsung pada 23 hingga 25 Feb ini di Kompleks Sukan Kuala Selangor akan membawakan pelbagai perkhidmatan sosial agensi kerajaan kepada pengunjung.

Pengarah Bahagian Kesejahteraan Rakyat Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) Mashitah @ Suhailah Suid berkata ia bagi memudahkan orang ramai mendapat pelbagai perkhidmatan secara langsung dalam satu tempat.

“Banyak perkhidmatan yang akan disediakan di reruai kesejahteraan nanti melibatkan enam agensi, termasuk kaunter semakan dan pendaftaran bantuan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat, semakan Bantuan Sara Hidup, semakan Sumbangan Tunai Rahmah dan sebagainya.

“…dan kami juga akan sampaikan maklumat tentang perlindungan sosial melalui platform pangkalan data yang dibangunkan sendiri ICU, di samping PERKESO melalui program sinergi sosial juga akan menyediakan maklumat dan perkhidmatan di kaunter masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai tetamu jemputan program bual bicara Apa Khabar Malaysia terbitan Bernama TV di sini hari ini.

Mashitah berkata selain bertujuan memudahkan urusan ia sekali gus menjadi platform bagi menerangkan kepada masyarakat proses dan hubung kait antara agensi kerajaan dalam memberikan perlindungan sosial.

Berbaki dua hari lagi sebelum program itu berlangsung, beliau turut menggalakkan mereka yang sedang mencari peluang pekerjaan, hadir pada Karnival Kerjaya yang menyediakan kira-kira 2,000 peluang pekerjaan.

“Saya difahamkan terdapat lebih daripada 20 majikan yang telah bersetuju untuk menyertai pameran kerjaya dan ada yang akan buat temu duga secara terbuka jadi rakyat memang dijemput dan dialu-alukan,” katanya.

Majlis penutupan Program MADANI Rakyat Zon Tengah dijangka disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 25 Feb.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.