ad
BERITA UTAMA

Lebih 5,000 pengunjung kongsi kegembiraan di Karnival Bandaraya Diraja Klang

17 Feb 2024, 4:33 PM
Lebih 5,000 pengunjung kongsi kegembiraan di Karnival Bandaraya Diraja Klang
Lebih 5,000 pengunjung kongsi kegembiraan di Karnival Bandaraya Diraja Klang

KLANG, 17 FEB: Lebih 5,000 pengunjung memeriahkan Karnival Bandaraya Diraja Klang di Kompleks Sukan Pandamaran di sini malam tadi.

Berlangsung tiga hari sejak semalam, karnival yang dirasmikan EXCO Kerajaan Tempatan Dato’ Ng Suee Lim itu turut dihadiri Datuk Bandar Datin Paduka Noraini Roslan.

Kemuncak perasmian karnival sempena pengisytiharan Klang sebagai Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) itu pengunjung dipertonton dengan pertunjukan bunga api hampir lima minit.

Penyanyi Kaka Azraf, Black Hanifah, Hazama dan Ella turut memeriahkan karnival manakala Nabil Ahmad dan Shiha Zikir sebagai pengacara.

Hadir sama Ahli Dewan Negeri Pelabuhan Klang Azmizam Zaman Huri dan Pandamaran Leong Tuck Chee.

Noraini ketika berucap berkata karnival itu bertujuan berkongsi dan meraikan bersama penduduk Klang yang kini bandar raya.

“Menerusi karnival ini, ia dapat dijadikan sebagai salah satu wadah jalinan kerjasama antara semua peringkat sekali gus merealisasikan moto MBDK iaitu Perpaduan Asas Kemakmuran.

[caption id="attachment_629105" align="aligncenter" width="692"] Pertunjukan bunga api memeriahkan Karnival Bandaraya Diraja Klang di Kompleks Sukan Pandamaran, Klang pada 17 Februari 2024. Foto Facebook Majlis Bandaraya Diraja Klang[/caption]

“Dengan adanya karnival ini diharap dapat mengekalkan nilai perpaduan dan kesejahteraan dalam kalangan komuniti Klang,” katanya pada majlis perasmian karnival itu.

Antara aktiviti lain di karnival itu ialah festival makanan, soopa-doopa, klinik bola sepak, pertandingan mewarna, cabutan bertuah, pertandingan e-sukan dan bola jaring tiga lawan tiga.

Pada 5 Februari lalu, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan menyempurnakan istiadat pengisytiharan MBDK.

Baginda berkenan melafazkan pengisytiharan dan mengumumkan pelantikan Datin Paduka Noraini Roslan sebagai datuk bandar MBDK berkuat kuasa 23 November lalu.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.