ad
AGENSI

Mais junjung titah Sultan, komited bantu jawatankuasa khas

16 Feb 2024, 11:00 AM
Mais junjung titah Sultan, komited bantu jawatankuasa khas
Mais junjung titah Sultan, komited bantu jawatankuasa khas

SHAH ALAM, 16 FEB: Majlis Agama lslam Selangor (Mais) menjunjung titah Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj yang meminta semua pihak menghormati keputusan Mahkamah Persekutuan sebagai undang-undang utama negara.

Pengerusinya Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata pihaknya komited memberi pandangan bagi memudahkan Jawatan Kuasa Mengkaji Isu Berkaitan Kompetensi Dewan Undangan Negeri menganalisis peruntukan undang-undang sedia ada.

"Mais komited untuk bersama-sama membantu jawatankuasa itu dalam memberi sumbang saran dan idea untuk memudahkan jawatankuasa menganalisa dan mencadangkan keadah terbaik bagi memperluas kompetensi Badan Perundangan Negeri.

"Selain menggubal undang-undang jenayah syariah dalam kerangka yang ditetapkan oleh Perlembagaan Persekutuan sebagaimana hasrat DYMM Sultan Selangor," katanya dalam kenyataan.

[caption id="attachment_628716" align="alignnone" width="845"] Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj mempengerusikan mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) di Putrajaya pada 15 Februari 2024. Foto Facebook Selangor Royal Office[/caption]

Semalam, Sultan Sharafuddin yang mempengerusikan MKI ke-71 bertitah mengenai kepentingan usaha mencari jalan mengatasi isu itu dengan mengkaji kaedah memperluas kompetensi Badan Perundangan Negeri untuk menggubal undang-undang jenayah syariah dalam kerangka yang ditetapkan oleh Perlembagaan Persekutuan.

Baginda bertitah demikian sebagai mengulas keputusan Mahkamah Persekutuan pada 9 Feb lepas yang mengisytiharkan 16 kesalahan jenayah syariah dalam Enakmen Kanun Syariah Jenayah Kelantan sebagai batal dan tidak sah.

Berikutan itu, Baginda menyeru kepada semua pihak terutama umat Islam agar bertenang dan tidak menimbulkan sebarang kekecohan sementara menantikan cadangan dari jawatankuasa khas berkenaan.

Abdul Aziz juga menyambut baik hasrat Sultan Selangor untuk memperkukuh pendidikan lslam di Selangor khusus kepentingan penguasaan Bahasa Arab dalam kalangan pelajar tahfiz agar memahami makna sebenar ayat al-Quran.

Menurutnya, Mais telah menubuhkan Jawatankuasa Pendidikan lslam dan Tahfiz Selangor bagi memastikan pelaksanaan program pendidikan lslam di negeri ini dilaksana dengan berkesan.

"Mais menyeru agar semua umat lslam di Selangor tidak menyalahgunakan agama demi kepentingan peribadi bagi mengekalkan keharmonian dan kemuafakatan dalam negara.

"Selain itu, para ilmuwan lslam diseru untuk meraikan perbezaan pendapat serta menyelesaikan perbezaan pandangan tersebut secara ilmiah, berhemah serta memenuhi saluran yang betul," katanya.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.