ad
AGENDA

Kerani rugi RM85,000 terpedaya pinjaman wang tidak wujud

14 Feb 2024, 8:34 AM
Kerani rugi RM85,000 terpedaya pinjaman wang tidak wujud

KUANTAN, 14 FEB: Seorang kerani wanita sebuah syarikat swasta kerugian RM85,000 selepas terpedaya dengan pinjaman wang tidak wujud menerusi media sosial.

Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman berkata mangsa berusia 43 tahun telah melihat iklan pinjaman wang pada 17 Jan lepas di laman Facebook dan berminat membuat pinjaman peribadi sebanyak RM10,000.

Beliau berkata mangsa kemudiannya telah diminta menyerahkan butiran peribadi seperti slip gaji, salinan kad pengenalan, penyata Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan bank bagi tujuan proses pinjaman wang.

"Suspek turut mengarahkan mangsa membuat pelbagai bayaran antaranya bagi duti setem, mengaktifkan akaun, deposit bayaran balik yang kesemuannya berjumlah RM85,000.

"Mangsa telah menggunakan wang simpanan dan pinjaman daripada rakannya untuk membayar wang berkenaan dengan melakukan 34 transaksi ke tujuh akaun bank berbeza," katanya dalam kenyataan hari ini.

Yahaya berkata mangsa yang menyedari dirinya ditipu telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Cameron Highlands semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.