ad
AGENDA

Pesawat terhempas: Dua mayat mangsa dibawa ke HTAR untuk bedah siasat

13 Feb 2024, 2:26 PM
Pesawat terhempas: Dua mayat mangsa dibawa ke HTAR untuk bedah siasat

KAPAR, 13 FEB: Dua mayat mangsa nahas pesawat ringan model BK160 Gabriel yang terhempas di Kampung Tok Muda di sini petang tadi dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang untuk proses bedah siasat.

Mangsa terdiri daripada juruterbang Daniel Yee Hsiang Khoon, 30, dan Roshaan Singh Raina, 42, dibawa keluar secara berasingan menggunakan dua trak polis kira-kira pukul 8.10 malam ini.

Terdahulu, Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan mengesahkan kedua-dua mangsa maut dalam kejadian yang berlaku itu.

Beliau berkata kedua-dua mangsa dipercayai terbenam bersama bahagian kokpit pesawat sedalam lebih dua meter, di kawasan ladang kelapa sawit dalam kejadian yang dilaporkan pada 1.45 tengah hari tadi.

Selain itu, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) mengesahkan sebuah pesawat ringan yang terhempas itu melibatkan dua mangsa.

Pesawat dikendalikan Air Adventure Flying Club itu berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang pada pukul 1.28 tengah hari bagi penerbangan rekreasi.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.