ad
AGENDA

Pesawat terhempas: Keadaan dua mangsa termasuk juruterbang belum dapat dipastikan

13 Feb 2024, 9:20 AM
Pesawat terhempas: Keadaan dua mangsa termasuk juruterbang belum dapat dipastikan

KUALA LUMPUR, 13 FEB: Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) mengesahkan terdapat dua mangsa termasuk seorang juruterbang berada dalam pesawat ringan model BK 160 Gabriel, semasa ia terhempas di Kapar, Selangor hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif CAAM Datuk Kapten Norazman Mahmud dalam kenyataan memaklumkan, keadaan kedua-dua mangsa bagaimanapun masih belum dapat dipastikan setakat ini.

Beliau berkata sebelum kejadian, pesawat dengan nombor pendaftaran I-POOC yang dikendalikan oleh Air Adventure Flying Club itu, berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang, pada 1.28 petang bagi penerbangan rekreasi.

“Hubungan terakhir pesawat dengan pegawai kawalan trafik udara dilaporkan pada 1.35 petang, namun tiada panggilan kecemasan diterima,” katanya.

Beliau berkata Pusat Koordinasi Menyelamat Aeronautikal Kuala Lumpur (KLARCC) di Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur (KLATCC), diaktifkan serta merta untuk mengenal pasti lokasi pesawat.

“Siasatan lanjut akan dilaksanakan oleh Biro Siasatan Kemalangan Udara di bawah Kementerian Pengangkutan mengikut Bahagian XXVI Peraturan-peraturan Penerbangan Awam 2016,” katanya.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.