ad
AGENDA

Bomba: Waspada kepala air ketika berkhemah tepi sungai

13 Feb 2024, 1:31 AM
Bomba: Waspada kepala air ketika berkhemah tepi sungai

SIBU, 13 FEB: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mengingatkan orang awam yang ingin mengadakan aktiviti riadah di tebing sungai agar sentiasa berwaspada dan peka kepada perubahan air sungai di sepanjang musim Monsun Timur Laut (MTL) ketika ini.

Ketua Bomba Zon Sibu Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak Andy Alie berkata ini bagi mengelakkan mereka terdedah kepada bahaya kejadian kepala air.

Katanya, tanda-tanda awal akan berlakunya kejadian kepala air ialah apabila paras air yang meningkat dengan cepat, perubahan warna air, kederasan arus dan keberadaan puing-puing asing yang timbul di permukaan air.

Menurut beliau sekiranya tanda-tanda awal itu dikesan mereka perlu segera mengambil langkah keselamatan dengan berpindah ke kawasan lebih selamat dan menghubungi pihak bomba.

“Nasihat saya kepada orang awam supaya berhati-hati ketika menjalankan aktiviti perkelahan, khususnya sepanjang musim Monsun Timur Laut ini. Mereka perlu tahu stituasi cuaca semasa dan memastikan tapak perkhemahan didirikan di jarak selamat dari tepi sungai,” katanya kepada Bernama.

Beliau mengulas kejadian sembilan keluarga dari Bintulu yang beriadah dengan berkhemah serta bermalam di tepi Sungai Yong di Kapit yang terperangkap dalam kejadian kepala air pada Ahad lepas.

Andy berkata orang awam juga diminta memaklumkan balai polis berhampiran sekiranya hendak melakukan aktiviti berkhemah atau beriadah di kawasan sungai atau lokasi rekreasi air yang bukan kawasan rekreasi awam.

-BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.