ad
AGENDA

ATM pastikan kawalan sempadan negara pada tahap tertinggi

11 Feb 2024, 3:57 AM
ATM pastikan kawalan sempadan negara pada tahap tertinggi

KOTA TINGGI, 11 FEB: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) konsisten dalam memastikan sempadan negara dikawal pada tahap tertinggi demi mengekalkan kedaulatan negara serta mengekang sebarang aktiviti pencerobohan.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata kawalan secara berterusan menerusi pelbagai operasi dilakukan di kawasan darat, udara, perairan dan tuntutan bertindih, melibatkan pemantauan dan rondaan sepanjang masa di pos kawalan ATM di seluruh negara.

“Operasi dilaksanakan ATM berlaku sepanjang masa, untuk pastikan kedaulatan dan tiada pencerobohan sama ada kapal perang negara lain atau bot nelayan asing masuk ke kawasan kita.

“(Setakat ini) Rohingya paling ramai (kemasukan). Selain itu, operasi ATM turut mengekang kes penyeludupan, lanun dan sebagainya,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Kota Tinggi-Bina Puri Muay Thai Fight 2024 di Dewan Jubli Intan, di sini malam tadi.

Beliau diminta mengulas mengenai kejayaan cemerlang ATM dalam pelbagai operasi yang antaranya turut dilakukan secara bersepadu bersama agensi lain.

Mohamed Khaled berkata perolehan aset baharu juga sentiasa dilakukan bagi memastikan kesiapsiagaan ATM.

Selain itu, beliau berkata ATM sentiasa meningkatkan keupayaan, kemampuan dan pengalaman ATM melalui latihan ketenteraan yang dijalankan dengan kerjasama negara lain.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.