ad
AGENDA

Dua lagi anggota polis ditahan bantu siasatan kes pemerasan tukang cuci

10 Feb 2024, 12:50 PM
Dua lagi anggota polis ditahan bantu siasatan kes pemerasan tukang cuci

JOHOR BAHRU, 10 FEB: Dua lagi anggota daripada Bahagian Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam, ditahan semalam bagi membantu siasatan kes pemerasan melibatkan seorang tukang cuci wanita, Isnin lalu.

Ketua Polis Johor CP M Kumar berkata kedua-duanya yang berusia 29 dan 36 tahun direman hingga esok.

"Bagaimanapun, seorang pegawai dan tujuh anggota polis yang ditahan sebelum ini dibebaskan semalam dengan jaminan polis," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Rabu lalu, pegawai kanan polis berpangkat inspektor dan tujuh pegawai rendah IPD Seri Alam ditahan bagi membantu siasatan kes pemerasan melibatkan seorang tukang cuci wanita.

Sebelum ini, tular satu laporan dipercayai berhubung tangkapan kesemua pegawai polis itu menerusi aplikasi Telegram, yang menyatakan seorang tukang cuci wanita mendakwa seorang anggota polis meminta wang RM40,000 bagi membebaskan adiknya yang ditahan berkaitan kes dadah.

Wanita berkenaan kemudian mendakwa hadir di IPD itu untuk menyerahkan wang berjumlah RM35,000 sebelum membuat laporan polis selepas mendapati adiknya masih belum dibebaskan.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.