ad
AGENDA

Pegawai kerajaan rugi RM168,000 ditipu sindiket dalam talian

10 Feb 2024, 11:18 AM
Pegawai kerajaan rugi RM168,000 ditipu sindiket dalam talian

IPOH, 10 FEB: Pegawai wanita di sebuah agensi kerajaan kerugian RM168,000 akibat ditipu sindiket penipuan menerusi telefon yang turut menyamar diri sebagai pegawai Kementerian Kesihatan (KKM).

Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Yahaya Hassan dalam kenyataan berkata mangsa berusia 45 tahun dan berasal dari Taman Tawas Gemilang di sini menerima panggilan telefon daripada individu tidak dikenali pada 5 Januari lalu.

Beliau berkata suspek yang memperkenalkan diri sebagai pegawai farmasi dari KKM mendakwa mangsa mengambil beberapa ubat terkawal dari Hospital Georgetown, Pulau Pinang.

"Mangsa menafikan perkara itu dan suspek memintanya membuat laporan polis.

"Mangsa kononnya disambungkan kepada "pegawai polis" dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang dan dimaklumkan mempunyai rekod terlibat dengan kes penyeludupan dadah dan pengubahan wang haram," katanya.

Yahaya berkata bagi menyakinkan wanita itu, seorang lagi suspek yang menyamar sebagai pegawai polis dari Bukit Aman menghubungi mangsa dan mengarahkannya membuat pengeluaran akaun simpanan berjumlah RM168,000 untuk dimasukkan ke lima akaun berbeza.

Suspek turut memberinya sepucuk surat bertulis 'Polis Diraja Malaysia' mengandungi butiran kononnya mangsa disyaki terlibat dengan kes penyeludupan dadah dan pengubahan wang haram serta waran tangkap ke atas mangsa.

"Mangsa akhirnya menyedari dirinya ditipu dan membuat laporan polis semalam," katanya dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.