ad
AGENDA

Peluang Nur Dhabitah ke Sukan Olimpik Paris berakhir

8 Feb 2024, 1:07 PM
Peluang Nur Dhabitah ke Sukan Olimpik Paris berakhir

KUALA LUMPUR, 8 FEB: Kem terjun negara terus dirudung malang selepas seorang lagi penerjun harapan Nur Dhabitah Sabri gagal melayakkan diri ke Sukan Olimpik Paris 2024.

Nur Dhabitah gagal melangkah ke pentas final acara 3 meter (m) papan anjal individu wanita di Kejohanan Akuatik Dunia di Doha, Qatar, hari ini selepas sekadar menamatkan saingan di kedudukan ke-24 dengan mengumpul 238.15 mata secara keseluruhan.

Beliau ketinggalan 7.95 mata di belakang penerjun Sepanyol Maria Papworth Burrel yang berada di kedudukan ke-18 dengan mengumpul 246.10 mata.

Hanya 18 penerjun terbaik akan beraksi pada saingan separuh akhir diikuti 12 terbaik di final pada hari sama esok.

Mengiringi kegagalan tersebut, rakan senegara Wendy Ng Yan Yee yang menamatkan saingan kelayakan di kedudukan ke-36 dengan mengumpul 216.00 mata secara keseluruhan.

Selasa lepas, Nur Dhabitah dan gandingannya Datuk Pandelela Rinong terlepas tiket untuk ke Sukan Olimpik 2024 apabila hanya menamatkan saingan acara 10m platform seirama di kedudukan ke-12.

Beliau yang kemudian bergandingan dengan Wendy turut terlepas slot ke temasya paling berprestij di dunia itu apabila hanya menduduki tempat kesembilan dalam saingan 3m papan anjal seirama wanita.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.