SHAH ALAM, 7 FEB: Ahli Dewan Negeri (ADN) Meru berazam menganjurkan gotong-royong setiap bulan selaras hasrat Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor yang mahu bandar raya Klang bersih.
Mariam Abdul Rashid berkata titah Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj itu selari dengan manifesto yang digariskan dalam Pilihan Raya Negeri Selangor tahun lalu.
“Saya menjunjung kasih titah Tuanku Sultan Selangor. Memang saya turut letak dalam manifesto untuk pastikan semua infrastruktur di Meru dalam keadaan baik dan bersih.
“Selepas ini kita akan adakan program gotong royong Insya-Allah setiap bulan di semua peringkat penduduk. Kita akan mulakan sebelum Ramadan ini,” katanya ketika dihubungi.
Mariam turut berhasrat menganjurkan pertandingan kampung tercantik selain memperluaskan inisiatif program kitar semula menerusi penukaran baucar membeli-belah di pasaraya 99 Speedmart.
ADN Pandamaran pula berharap pihak berkuasa tempatan (PBT) dapat menguatkuasa undang-undang dengan lebih ketat bagi memastikan Klang sentiasa bersih.
Leong Tuck Chee berkata masih ada penduduk yang mengambil sikap sambil lewa melakukan pembuangan sampah di tempat terbuka dan menuding jari terhadap warga asing.
[caption id="attachment_493817" align="aligncenter" width="741"] ADN Pandamaran, Leong Tuck Chee bercakap kepada Media Selangor ketika program Selvax Remaja DUN Pandamaran di Dewan Kompleks Sukan Pandamaran, Klang pada 31 Oktober 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI[/caption]
“Di tempat saya masih ada penduduk tempatan yang tidak takut undang-undang. Saya harap pihak PBT dapat menjalankan tugas dengan lebih tegas dan tidak bagi muka lagi.
“Mereka mahu Klang sentiasa bersih tetapi tidak mahu bantu beri kerjasama. Saya rasa penguatkuasaan undang-undang perlu lebih tegas selepas ini,” katanya.
Sebelum ini, Sultan Sharafuddin menitahkan bandar raya Klang yang dinaik taraf perlu dikenali dengan imej bersih dan memiliki daya tarikan warisan bersejarah.
Baginda bertitah perkara yang perlu diberi perhatian ialah kebersihan kawasan perumahan, sungai dan tebing serta kemudahan prasarana yang baik.
Titah itu dilafazkan selepas baginda berkenan menyempurnakan istiadat pengisytiharan Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) yang berlangsung di Hotel Wyndham, Isnin lalu.