ad
PBT

Mohamad Zahri dilantik datuk bandar Petaling Jaya

5 Feb 2024, 9:46 AM
Mohamad Zahri dilantik datuk bandar Petaling Jaya

PETALING JAYA, 5 FEB: Mohamad Zahri Samingon dilantik sebagai datuk bandar ketujuh Petaling Jaya berkuat kuasa 1 Februari lalu.

Beliau menggantikan Mohd Azhan Md Amir yang dilantik sebagai timbalan ketua setiausaha (pengurusan dan pembangunan) Kementerian Pengajian Tinggi.

Mohamad Zahri berterima kasih kepada Kerajaan Negeri kerana memberi kepercayaan kepada beliau menerajui Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

“Saya bersama ahli majlis dibantu warga kerja MBPJ akan menerapkan visi dan misi Kerajaan Negeri, Rancangan Selangor Pertama (RS-1) dan dasar lain termasuk Lembah Klang Raya dalam urusan pentadbiran.

“Selain itu, saya akan memastikan kedayatahanan Petaling Jaya diperkukuhkan terutama mengurangkan risiko isu banjir kilat dan tanah runtuh serta sektor ekonomi kompetitif,” katanya.

Terdahulu, Mohamad Zahri menerima perakuan penerimaan jawatan dan membaca ikrar aku janji integriti di Ibu Pejabat MBPJ di sini, hari ini.

Anak kelahiran Tanjung Karang itu sebelum ini memegang jawatana timbalan setiausaha kerajaan (pengurusan) Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri selama dua tahun bermula 2021 sehingga Januari lalu.

Beliau berkelulusan Ijazah Pentadbiran Awam dengan Kepujian Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Diploma Pengurusan Awam, Institut Tadbiran Awam Negara (Intan).

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.