SUBANG JAYA, 4 FEB: Lebih 300 jemaah menjayakan kempen 'Geng Subuh Macam Jumaat' menerusi penganjuran Hari Tanpa Kenderaan Subang Jaya di sini hari ini.
Datuk bandarnya berkata program berkenaan bermula jam 6 pagi di Masjid Putra Heights dan diteruskan di Taman Komuniti Putra Heights dengan lebih 1,000 peserta.
Menurut Dato’ Mohd Fauzi Mohd Yatim, program tersebut mendapat sambutan memberangsangkan meskipun penganjuran kali pertama di lokasi baharu.
“Sebelum ini ia dianjurkan di pekarangan Subang Parade, tahun ini kita beralih angin ke Taman Komuniti Putra Heights.
"Insya-Allah, melihat kemeriahan hari ini kita cadang untuk anjurkan lagi di sini pada 12 Mei, 4 Ogos dan 20 Oktober depan," katanya ketika merasmikan taman rekreasi berkenaan.
[caption id="attachment_627074" align="alignnone" width="809"] Persembahan seni silat harimau ketika program Hari Tanpa Kenderaan Subang Jaya dan perasmian Taman Komuniti di Taman Komuniti Putra Heights, Subang Jaya pada 4 Februari 2024. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI[/caption]
Mohd Fauzi juga mengalu-alukan penyertaan komuniti setempat sekiranya ada yang berminat untuk berniaga mahupun mengadakan pameran pada program akan datang.
Pelbagai aktiviti baharu diperkenal antaranya sukan rakyat seperti congkak, lari dalam guni dan sepakan penalti berkain pelikat atau batik.
Selain itu, cabaran sepak raga bulatan, demonstrasi kawalan jauh (RC helicopter), eco free market dan eco explorace serta demonstrasi t-baton dan persembahan silat.
Aktiviti biasa ialah kayuhan santai (urban 30 kilometer ride), pertandingan memanah, mewarna, aktiviti larian dan berjalan, bazar sarapan, pasar karloot, perkhidmatan kaunter bergerak hasil Majlis Bandaraya Subang Jaya.