ad
AGENDA

Azizulhasni raih emas kejohanan berbasikal antarabangsa di Australia, ketepi pelumba Jepun

3 Feb 2024, 12:52 PM
Azizulhasni raih emas kejohanan berbasikal antarabangsa di Australia, ketepi pelumba Jepun

KUALA LUMPUR, 3 FEB: Jaguh berbasikal trek negara Datuk Mohd Azizulhasni Awang membuktikan dirinya masih ‘berbisa’ untuk menjadi pencabar di Sukan Olimpik Paris 2024 apabila cemerlang memperoleh gelaran keirin lelaki di Kejohanan Piala Negara-Negara Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) di Adelaide, Australia hari ini.

Pada perlumbaan di Super-Drome itu, pelumba yang diberi julukan The Pocket Rocketman itu mempamerkan kayuhan bertenaga mengetepikan cabaran getir dua pelumba Jepun, Shinji Nakano dan Kaiya Ota untuk memperoleh emas pertamanya tahun ini.

Kemenangan itu sekali gus memberi mata buat Mohd Azizulhasni untuk ke pentas Sukan Olimpik Paris 2024, Julai ini.

Pelumba berusia 36 tahun itu sebelum ini menduduki tempat ketiga pada peringkat separuh akhir untuk mara ke pusingan akhir.

Bagaimanapun, seorang lagi pelumba negara Muhammad Fadhil Zonis gagal menamatkan perlumbaan dalam pusingan repechage selepas menamatkan saringan kedua di tempat kedua acara keirin.

Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh menerusi akaun X mengucapkan tahniah kepada Mohd Azizulhasni atas kejayaannya itu.

“Datuk Azizulhasni Awang telah memenangi emas acara keirin di Kejohanan Tissot UCI Nations Cup Adelaide, Australia sebentar tadi. Tahniah! #RoadToGold,” katanya.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.