ad
AGENDA

Dua pemandu lori maut dalam nahas tujuh kenderaan di Gopeng

3 Feb 2024, 2:48 AM
Dua pemandu lori maut dalam nahas tujuh kenderaan di Gopeng

IPOH, 3 FEB: Dua pemandu lori maut akibat tersepit di dalam kenderaan mereka dalam kemalangan melibatkan tujuh kenderaan di Kilometer 288.1 Lebuhraya Utara Selatan Arah Utara dekat Gopeng di sini pagi ini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Sabarodzi Nor Ahmad berkata kemalangan itu membabitkan tiga lori dan empat kereta.

"Dua lelaki masing-masing pemandu lori muatan gula dan muatan barang logam tersepit dan meninggal dunia di tempat kejadian, kedua-dua mayat telah dikeluarkan dan dihantar kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya dalam kenyataan.

Kemalangan itu menyebabkan kesesakan trafik sepanjang beberapa kilometer dari kedua-dua arah lebuh raya itu, dengan tumpahan muatan gula daripada lori terbabit memenuhi kawasan sekitar kejadian. Kerja-kerja pembersihan pada masa ini giat dijalankan.

Sementara itu, PLUS Malaysia Berhad melalui akaun X memaklumkan trafik di lokasi kejadian tidak bergerak.

"Sila keluar ke Plaza Tol Simpang Pulai (arah ke selatan) dan Plaza Tol Gopeng (arah ke utara). Trafik sesak di Plaza Tol Gopeng dan Simpang Pulai, sila rancang perjalanan anda," menurut hantaran media sosial itu.

-- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.