ad
AGENDA

Malaysia naib juara Piala Dunia Hoki 5s, tewas kepada Belanda

1 Feb 2024, 12:19 AM
Malaysia naib juara Piala Dunia Hoki 5s, tewas kepada Belanda

KUALA LUMPUR, 1 FEB: Malaysia terpaksa berpuas hati dengan status naib juara pada edisi sulung Piala Dunia Hoki 5 sebelah (5s) 2024 selepas tewas 2-5 di tangan Belanda pada aksi final, awal pagi tadi.

Pada aksi di Hockey Oman Venue itu, Belanda melaung amaran awal menerusi jaringan Van Der Drift Yannick seawal minit pertama, namun Malaysia pantas menyamakan kedudukan menerusi jaringan gol padang Mohamad Akhimullah Anuar Esook kurang daripada 45 saat kemudian.

Belanda, yang hadir selaku juara Eropah, kemudian melebarkan jurang menerusi jaringan gol padang Reyenga Pepijn pada minit keenam dan Drift Yannick pada minit ke-13 untuk mendahului 3-1 menjelang waktu rehat.

Bersambung babak kedua, Muhammad Firdaus Omar merapatkan jurang bagi skuad kendalian Wallace Tan menerusi jaringan minit ke-16, tetapi Belanda berjaya muncul juara sulung Piala Dunia 5s apabila Sander de Wijn (minit 26) dan Jamie van Aart (minit 28) masing-masing menjaringkan satu gol.

Malaysia mara ke final selepas mengatasi Poland 4-3 pada separuh akhir, manakala Belanda menewaskan tuan rumah Oman 5-3.

Oman kemudian meraih gangsa selepas menewaskan Poland 3-2 pada aksi penentuan tempat ketiga-keempat.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.