ad
BERITA UTAMA

PeBS perkenal program kerohanian, perkukuh jati diri anak muda

31 Jan 2024, 1:30 AM
PeBS perkenal program kerohanian, perkukuh jati diri anak muda
PeBS perkenal program kerohanian, perkukuh jati diri anak muda

SHAH ALAM, 31 JAN: Penggerak Belia Selangor (PeBS) memperkenalkan program kerohanian yang bakal dilaksana Ramadan ini bagi mengukuhkan lagi jati diri anak muda.

EXCO Belia Mohd Najwan Halimi berkata pengenalan program keagamaan itu adalah pelengkap kepada program sedia ada iaitu komuniti, sukan dan riadah.

[caption id="attachment_626249" align="aligncenter" width="724"] EXCO Belia Mohd Najwan Halimi berucap sempena majlis penutupan Program Say Aspire edisi ke 5 di Pustaka Raja Tun Uda, Seksyen 13, Shah Alam pada 29 Januari 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI[/caption]

"Kita sedang menyusun semula program bawah PeBS, namun menjelang Ramadan ini kita merangka program komuniti di masjid dan surau seperti semarak subuh.

"Kerajaan Negeri mahu anak muda mengimarahkan masjid pada setiap waktu solat, bukan sahaja subuh. Kita tidak mahu belia hanya fokus pada aktiviti santai dan riadah sahaja tetapi perlu menjurus keagamaan bagi pengukuhan jati diri," katanya ketika ditemui semalam.

Terdahulu beliau merasmikan program pembangunan usahawan belia, SAY Aspire di Pustaka Raja Tun Uda di sini.

Sebelum ini, Mohd Najwan memaklumkan Kerajaan Negeri bakal melantik 228 PeBS baharu bagi menggerakkan polisi dan program untuk belia.

Katanya, semua mereka berperanan sebagai penghubung membentuk perpaduan dalam kalangan masyarakat sekali gus mencorak masa depan Selangor yang lebih gemilang.

PeBS dijenamakan dan disusun semula pada 2021 daripada Penggerak Belia Tempatan (PeBT) yang mula diperkenalkan sejak 2009.

Pemimpin belia setempat itu memainkan peranan kepada agenda pembangunan generasi muda di setiap Dewan Undangan Negeri.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.