ad
AGENDA

Bukit Aman siasat anggota trafik tawar saman RM100 kepada pelancong UK

29 Jan 2024, 12:09 AM
Bukit Aman siasat anggota trafik tawar saman RM100 kepada pelancong UK

KUALA LUMPUR, 29 JAN: Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) sedang melakukan siasatan terperinci susulan tular sebuah video tindakan anggota trafik menyaman dan menawarkan bayaran saman di lokasi kejadian ke atas pasangan warga United Kingdom yang dalam edisi jelajah Malaysia dengan kenderaan.

Video berkenaan dikesan pada 4.30 petang semalam di YouTube.

Pengarah JSPT Bukit Aman Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata JSPT tidak akan bertoleransi dengan sebarang salah laku oleh mana-mana pegawai dan anggota yang terlibat.

Beliau dalam kenyataan semalam berkata JSPT mengambil maklum akan kejadian yang berlaku dan menasihatkan orang awam untuk tidak membuat sebarang spekulasi.

Menurutnya, JSPT akan memaklumkan perkembangan siasatan berhubung perkara ini dan juga tindakan lanjut yang akan diambil.

“Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan dengan kejadian ini diminta menyalurkannya bagi membantu siasatan kepada JSPT melalui talian bilik gerakan 03-22663356 atau e-mel [email protected],” katanya.

Semalam, tular di media sosial mengenai satu video yang memaparkan seorang anggota polis trafik yang mengenakan tindakan saman terhadap warganegara UK dengan jumlah yang tertentu.

-BERNAMA

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.