ad
ADN

Industri silika mampu lonjak ekonomi utara Selangor, sasar tarik pelabur 

20 Jan 2024, 12:12 AM
Industri silika mampu lonjak ekonomi utara Selangor, sasar tarik pelabur 

KUALA SELANGOR, 20 JAN: Wilayah utara Selangor berpotensi dibangunkan industri penghasilan silika sekali gus mampu menambah pendapatan negeri.

Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang berkata pihaknya sudah mengenalpasti lokasi berpotensi di Bestari Jaya dan menyasar menarik pelabur industri berkenaan menjelang akhir tahun ini.

“Bestari Jaya mempunyai kawasan yang hasilkan pasir terbesar di Selangor. Jadi kita perlu buat sesuatu kerana mineral silika yang berasal dari pasir ini bernilai tinggi.

“Kita harapkan ini langkah ke hadapan sekali gus membantu menyediakan peluang pekerjaan baharu kepada rakyat tempatan,” kata Mohd Yahya Mat Sahri.

Terdahulu beliau menghadiri Majlis Jalinan Mesra Pusat Khidmat Rakyat Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang bersama penjawat awam di Hotel De Palma di sini, semalam.

Selain membangunkan industri silika, Mohd Yahya berhasrat menarik universiti antarabangsa terkemuka bertapak di Bestari Jaya bagi membangunkan perkampungan ilmu.

“Cadangan itu masih diperhalusi dengan semua pihak dan memerlukan tempoh masa bagi memastikan ia terlaksana,” katanya.

Mineral silika digunakan dalam pelbagai industri termasuk penghasilan kaca untuk tingkap, cawan dan botol minuman, selain ramuan penting dalam gentian optik sistem telekomunikasi.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.